Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beriani ayam dan nasi goreng halal bakal disajikan di Sukan Olimpik Tokyo

Sebuah kilang kecil di Kuala Lumpur sedang menyiapkan beribu-ribu bungkusan makanan halal sedia makan, dari nasi goreng hingga ke beriani ayam untuk dihantar ke Jepun bagi Sukan Olimpik 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Beriani ayam dan nasi goreng halal bakal disajikan di Sukan Olimpik Tokyo

(Gambar hiasan: Pixabay)

Diterbitkan : 17 Feb 2020 01:54PM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 02:05PM

KUALA LUMPUR: Sebuah kilang kecil di Kuala Lumpur sedang menyiapkan beribu-ribu bungkusan makanan halal sedia makan, dari nasi goreng hingga ke beriani ayam untuk dihantar ke Jepun bagi Sukan Olimpik 2020.

Firma-firma makanan dari Malaysia dijangka meraih untung yang lumayan daripada jumlah besar pelancong Muslim ke Jepun bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik yang bakal berlangsung dari lewat Julai hingga September.

"Ia adalah satu wadah yang cukup lumayan dan peluang yang begitu besar buat kami," kata Ahmad Husaini Hassan, bos syarikat MyChef yang menyiapkan makanan di Kuala Lumpur.

"Hasrat kami bukan setakat untuk masuk dan kemudian keluar (pasaran). Kami ingin masuk dan terus kekal untuk tempoh yang panjang."

Malaysia mahu menggunakan Sukan Olimpik sebagai batu loncatan untuk meningkatkan eksport produk halal, termasuk makanan dan kosmetik, sebanyak kira-kira 20 peratus kepada AS$12 bilion (S$16.7 bilion) tahun ini. Pada 2018, negara itu mengeksport barangan halal bernilai AS$604 juta (S$841 juta) ke Jepun, 90 peratus daripadanya merupakan makanan dan bahan makanan.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang sudah memeterai perjanjian kerjasama halal dengan Tokyo untuk Sukan Olimpik.

MyChef merancang untuk meningkatkan pendapatannya kepada RM4.5 juta (S$1.5 juta) tahun ini. Ia sedang berunding dengan peruncit Jepun Aeon untuk sama-sama menghasilkan makanan halal dan makanan ringan sedia makan, kata Encik Ahmad Husaini.

Perdagangan halal Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat, China dan Brazil. Nilai pasaran halal global dijangka mencecah US$2.6 trilion (S$3.6 trilion) menjelang 2023, hampir seganda lebih tinggi berbanding paras 2017, menurut firma kajian data Research and Markets yang berpangkalan di Dublin.

MALAYSIA STREET

Kerajaan Malaysia pula menetapkan sasaran tinggi untuk menjual makanan dan produk halal bernilai AS$300 juta (S$417.5) kepada orang Islam dan bukan Islam yang datang menyaksikan Sukan Olimpik di Tokyo.

Ia berjaya mendapatkan kebenaran untuk mengadakan promosi bagi acara sampingan "Malaysia Street 2020", yang akan menawarkan peluang menjual makanan dan untuk syarikat-syarikat bertemu dengan pembeli dan pengedar di Jepun.

"Kami perlu banyak belajar daripada pihak berkuasa Malaysia dan sebagai ganti, syarikat Malaysia mempunyai lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata Hideto Nakajima, penasihat ekonomi di Kedutaan Jepun di Malaysia.

Jumlah pelancong ke Jepun dari Asia Tenggara, rantau yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia, terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh peraturan visa yang dilonggarkan.

Sedang Jepun menyasarkan jumlah rekod 40 juta pelancong tahun ini, Malaysia pula menganggarkan 8 juta daripada jumlah itu adalah Muslim.

Bagi HQC Commerce, antara empat firma yang dipilih untuk mengetuai usaha mempromosikan barangan halal Malaysia di Jepun, Sukan Olimpik adalah "batu loncatan" untuk meraih manfaat yang lebih besar.

"Kami tahu semasa Sukan Olimpik permintaan akan melambung tinggi, jadi inilah masanya untuk kami mempromosikan produk Malaysia," kata CEO Khairul Shahril Hamzah.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan