Bekas pemain negara yang dilarang seumur hidup, bukan hanya 'bermain bola sepak sosial'; terlibat anjur, adili perlawanan: FAS
FAS jelaskan, bekas pemain negara K Kannan baru-baru ini diberi peringatan kerana anjur kegiatan bola sepak bagi Persatuan India S'pura, bukan kerana bermain santai dengan rakan-rakan.
SINGAPURA: Bekas pemain bola sepak negara K Kannan bukan hanya bermain "bola sepak secara sosial" seperti yang dinyatakan dengan tidak tepat dalam catatan media sosial baru-baru ini, tetapi terlibat dalam menganjurkan dan mengadili pertandingan bola sepak di Persatuan India Singapura walaupun ada larangan seumur hidup ke atasnya oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) daripada melibatkan diri dalam semua kegiatan bola sepak.
FAS menyatakan demikian pada Khamis (19 Ogos) setelah catatan Facebook oleh bekas wartawan dan anggota parti pembangkang Jose Raymond menyebabkan apa yang disifatkan FAS sebagai reaksi "tidak adil" terhadapnya daripada orang ramai.
Catatan yang ditulis oleh Encik Raymond pada Selasa berkata bahawa Encik Kannan, 59 tahu, telah menerima surat dari FAS setelah dia dilihat bermain "bola sepak sosial dengan rakan-rakannya".
Surat itu, yang mana dua perenggan terakhirnya ditangkap layar dan dilampirkan dengan catatan itu, mengingatkan Kannan tentang larangan seumur hidup ke atasnya meliputi "semua kegiatan berkaitan bola sepak".
FAS menyatakan dalam surat itu bahawa kecuali larangan tersebut digugurkan atau diubah, Encik Kannan "tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan yang berkaitan dengan bola sepak baik secara langsung atau tidak langsung" dan setiap pelanggaran larangan itu akan dianggap sangat serius.
Encik Raymond menulis: "Saya rasa ini tidak masuk akal kerana seseorang individu sepatutnya dibenarkan bermain dengan rakan-rakannya, sebagai cara untuk kekal sihat dan menua secara aktif, terutama jika ia tidak melibatkan kegiatan bola sepak yang dianjurkan secara langsung atau disahkan oleh FAS. "
Akhbar The Straits Times kemudian melaporkan pada Selasa bahawa FAS mengeluarkan surat itu kepada Encik Kannan menyusuli aduan bahawa beliau telah bermain bola sepak sosial di Persatuan India Singapura sebulan sebelum itu.
FAS mempertikaikan bahawa surat itu hanya menyentuh tentang Encik Kannan bermain bola sepak sosial, sebaliknya ia juga adalah untuk memberi amaran tentang pelibatannya dalam pengurusan bola sepak di Persatuan India Singapura.
Lewat Khamis, FAS menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa ia telah memberi respons terhadap satu aduan bahawa Encik Kannan terlibat dalam "mempromosikan bola sepak, dalam menjalankan kegiatan bola sepak dan dalam penganjuran berbagai kejohanan di Persatuan India ... Dia juga didakwa terlibat sebagai pengadil semasa kejohanan itu”.
FAS menambah bahawa Encik Raymond telah memilih untuk melampirkan gambar hanya dua perenggan terakhir surat itu, tetapi meninggalkan isi perenggan kedua dan ketiga, yang menyatakan bahawa FAS dimaklumkan tentang penglibatan Encik Kannan dalam pengurusan bola sepak dan kegiatan bola sepak , termasuk sebagai pemain, di Persatuan India Singapura.
Larangan ke atas Encik Kannan dikenakan sejak 18 April 1995 setelah didapati bersalah dan dipenjara sekurang-kurangnya 14 bulan atas kesalahan rasuah.
Kannan juga didenda S$45,000, tetapi menjalani hukuman penjara kerana tidak dapat membayar denda.
Beliau juga dikenakan larangan daripada melibatkan diri dalam semua kegiatan bola sepak seumur hidup secara langsung atau tidak langsung. Kannan disenaraikan di laman web FAS sebagai salah satu daripada 16 pemain yang dikenakan larangan sedemikian.
PERSATUAN INDIA 'BUKAN DI BAWAH BIDANG KUASA FAS'
Dalam catatannya, Encik Raymond juga berkata bahawa Encik Kannan dan pasukan peguamnya dari firma guaman Eugene Thuraisingam LLP telah mengemukakan rayuan kepada FAS agar larangan tersebut digugurkan.
Dalam dokumen rayuan yang dilihat oleh Mediacorp, ia menyatakan bahawa Encik Kannan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membantu Persatuan India Singapura dalam menganjurkan kegiatan bola sepak untuk anggota dan belia di sana, dan juga telah bermain bola sepak sosial di tempat tersebut.
Ia merujuk pada Artikel 75.8 dari Perlembagaan FAS yang secara jelas membatasi penggantungan seumur hidup itu hanya untuk "pengurusan bola sepak, keanggotaan, atau kegiatan FAS".
“Kami difahamkan bahawa (Persatuan India Singapura) bukan anggota bersekutu FAS," tulis surat rayuan itu.
"Lantas, kami mengambil pandangan bahawa penggantungan seumur hidup itu tidak menghalang anak guam kami daripada bermain dan membantu bagi acara berkaitan bola sepak (di Persatuan India Singapura)."
Apabila dihubungi Mediacorp bagi responsnya terhadap kenyataan FAS, Encik Raymond berkata: "Persatuan India adalah kelab privet dan bukan sekutu FAS.
"Lantas, apa-apa yang dilakukan Kannan di sana dianggap sebagai kegiatan bola sepak sosial, dan sepatutnya tidak di bawah bidang kuasa FAS dan kegiatan-kegiatannya, seperti tertulis dalam rayuan peguam."
Encik Kannan merupakan penyerang bagi pasukan bola sepak negara bagi Sukan Asia Tenggara 1981 dan 1983.
Ketika bermain untuk Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia, beliau dinobatkan anugerah Kasut Emas setelah menjaringkan gol terbanyak di liga itu pada 1987.
Mediacorp telah menghubungi Persatuan India Singapura untuk mendapatkan ulasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.