Images
  • slaven
    Slaven Bilic. (Gambar: Reuters)

Bekas pemain Man City dakwa jurulatih asing sertai kelab China hanya kerana wang

SHANGHAI: Bekas pemain Manchester City, Sun Jihai menuduh jurulatih asing pergi ke China hanya demi wang dan tidak melakukan banyak untuk membantu negara itu mencapai impian Piala Dunia.

Komen itu dikeluarkan sedang kelab Liga Super China (CSL), Beijing Guoan, melantik Slaven Bilic, sebagai jurulatihnya. Warga Croatia itu mengaku bahawa "kewangan" memainkan peranan dalam keputusannya menyertai CSL.

Bekas pengurus West Bromwich Albion menjadi jurulatih luar negara terkini di CSL, menyertai Fabio Cannavaro di Guangzhou Evergrande dan Rafael Benitez di Dalian Pro.

Sun, pemain pertahanan Man City dari 2002 hingga 2008, berkata dalam satu wawancara televisyen minggu ini: "Jurulatih asing datang ke China untuk sebab yang amat mudah: bayaran.

"Jikalau tidak, apa sebab mereka datang? Adakah mereka ingin mempertingkatkan tahap bola sepak China? Justeru apa yang mereka melakukan?" tanya pemain berusia 43 tahun itu.

Meski berkongsi penilaiannya yang kritikal itu, Sun mengaku: "Jika saya seorang jurulatih saya akan melakukan perkara yang sama. Manusia bodoh dan mempunyai banyak wang, mengapa tidak?"

Kelab-kelab CSL mempunyai reputasi dalam kebelakangan tahun ini bagi perbelanjaan yang mewah terutamanya untuk para pemain penyerang.

- AFP/NA/na

Top