Images
  • hafiz rahim
    Bekas pemain bola sepak negara Allahyarham Hafiz Rahim. (Gambar: FAS/Facebook)

Bekas pemain bola sepak negara Hafiz Rahim meninggal dunia akibat nahas motosikal

SINGAPURA: Bekas pemain bola sepak negara Hafiz Rahim meninggal dunia pada usia 36 tahun selepas terlibat dalam kemalangan lalu lintas di Tampines.

Beliau difahamkan sedang menunggang motosikal semasa kemalangan tersebut berlaku.

Berita mengenai kematian Allahyarham Hafiz, yang juga bekas pemain Kelab Bola Sepak Tampines Rovers (TRFC) diumumkan di laman Facebook kelab berkenaan hari ini (9 Jul).

"Kami terkejut dan bersedih atas kematian bekas pemain kami, Hafiz Rahim selepas terlibat dalam kemalangan lalu lintas.

"Kami ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah mendalam kepada keluarga dan rakan-rakan Hafiz," tulis kelab TRFC.

FAS IKTIRAF SUMBANGAN HAFIZ

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) juga menyampaikan takziah serta mengiktiraf sumbangan pemain penyerang itu dalam catatannya di laman Facebook.

"Penyerang mahir itu membuat kemunculan pertamanya bagi Singapura pada 2011, bermain sebanyak sembilan kali dan menyumbat satu gol bagi negara ini.

"Beliau merupakan sebahagian daripada skuad Singa yang memenangi Piala Suzuki AFF pada 2012," menurut FAS.


(Gambar: Baihakki Khaizan/Instagram)

Allahyarham juga pernah bermain di Geylang United dan Warriors FC dalam Liga S.

Semasa peringkat akhir Piala Singapura pada 2009, beliau menjaringkan satu-satunya gol bagi membantu Geylang menjuarai Piala tersebut buat julung-julung kalinya.

Pada 2014, beliau menjaringkan satu lagi gol kemenangan, kali ini untuk pasukan Warriors, dalam perlawanan penting yang akhirnya membawa kepada kemenangan 1-0 dan kejuaraan Liga S bagi pasukan itu.


(Gambar: Baihakki Khaizan/Instagram)

Allahyarham bermain sebanyak 200 kali dalam liga tempatan, termasuk bagi pasukan Gombak United, Home United dan Tampines Rovers.

BAIHAKKI KHAIZAN IMBAU KENANGAN

Rakan seperjuangannya, Baihakki Khaizan mengimbau kenangan indah bersama Allahyarham di laman Instagram.

Beliau antara lain menulis: "Saya akan ingat bagaimana kita tumpang tidur di rumah anda disebabkan latihan pagi. Kami bergilir-gilir tetapi kebanyakannya kami akan ke rumah Hassan Sunny.

"Saya akan ingat pertemuan kita biasanya di kabin terakhir di Stesen MRT Clementi untuk pergi ke Stadium Bedok setiap hari.


(Gambar: Baihakki Khaizan/Instagram)

"Saya akan ingat tawa dan gurauan, kadangkala tidak perlu berkata apa-apa dan kita akan ketawa bersama.

"Saya akan ingat pengorbanan yang kita buat bersama semasa latihan, sentiasa mengingatkan satu sama lain untuk maju ke peringkat profesional.

"Yang paling penting, saya menjadi saksi betapa anda adalah rakan dan orang yang berhati mulia dan saya bersyukur atas kehadiran anda. Semoga Allah memberi anda syahid dan menempatkan roh anda dalam kalangan mereka yang beriman." 

- BERITAmediacorp/im

Top