Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bekas marin kurang upaya sahut cabaran jelajah sendirian di Lautan Atlantik

Seorang bekas tentera marin Britain semalam (8 Jan) memulakan percubaan untuk menjadi orang kurang upaya dari segi fizikal yang pertama untuk mendayung bot secara sendirian dan tanpa sebarang sokongan di Lautan Altantik, dari Eropah sehingga ke Amerika Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas marin kurang upaya sahut cabaran jelajah sendirian di Lautan Atlantik

Bekas marin Britain, Lee Spencer, yang kudung kaki kiri memulakan perjalanan sejauh 5,600 kilometer di Lautan Atlantik. (Gambar-Gambar: Jorge Guerrero/AFP)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 10:27AM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 10:33AM

GIBRALTAR: Seorang bekas tentera marin Britain semalam (8 Jan) memulakan percubaan untuk menjadi orang kurang upaya dari segi fizikal yang pertama untuk mendayung bot secara sendirian dan tanpa sebarang sokongan di Lautan Altantik, dari Eropah sehingga ke Amerika Selatan.

Orang ramai memberikan tepukan gemuruh kepada Lee Spencer, 49 tahun, ketika beliau berlepas dari sebuah pusat pelabuhan di Gibraltar ke bandar jiran di La Línea de la Concepción, di bahagian selatan Sepanyol di mana bot beliau kemudian dibawa ke Portugal menggunakan sebuah treler.

Spencer pada awalnya bercadang untuk berlepas dari Gibraltar, yang menjadi pusat pangkalannya.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menukar destinasi pelepasannya kepada bandar Portimao di bahagian selatan Portugal akibat ombak besar dan keadaan cuaca buruk di Selat Gibraltar. Beliau bercadang untuk memulakan perjalanannya dari Portimao pada pagi ini (9 Jan).

"Saya amat gelisah, bimbang, teruja. Semuanya saya dapat rasakan. Ini merupakan permulaan simbolik dalam perjalanan saya dari Gibraltar ke Amerika Selatan," kata Spencer kepada para wartawan sebelum berlepas ke La Línea.

Sebelum ini, seorang individu kurang upaya dari segi fizikal juga pernah cuba untuk mencatat rekod. Pada 2004, Stuart Boreham berlepas dari Kepulauan Canary di Sepanyol dan tiba di Barbados dengan mengambil masa 109 hari, 12 jam dan sembilan minit.

Bagaimanapun, Spencer berharap untuk sampai ke Cayenne di French Guiana dalam tempoh kurang 70 hari. Beliau hanya membawa bekalan makanan selama 90 hari bagi perjalanan sejauh 5,600 kilometer itu dengan menggunakan sebuah bot istimewa, yang diberi nama Hope.

Jika Spencer berjaya melakukan demikian, beliau juga akan memecahkan rekod yang pernah dicatat oleh seorang pendayung cukup sifat yang melakukan perjalanan di Lautan Alantik, antara Eropah dengan Amerika Selatan, secara sendirian.

Spencer sebelum ini berkhidmat sebagai anggota komando Tentera Marin Diraja Britain dan pernah menjalankan tiga operasi di Afghanistan, sebelum pulang ke Britain. Beliau malangnya kehilangan bahagian kaki kanannya pada 2014 akibat terkena serpihan semasa membantu seorang mangsa nahas jalan raya.

Spencer berharap bahawa perjelajahannya ini akan menukar tanggapan dan persepsi orang ramai mengenai golongan kurang upaya. Beliau juga berharap untuk mengumpul dana bagi Dana Usaha dan Tabung Marin Diraja, yang bermatlamat menyokong pemulihan bagi kakitangan tentera Britain yang sakit atau cedera.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan