Images
  • ben tan cdm
    Bekas atlit sukan layar negara Ben Tan (Gambar: Dr Ben Tan)

Bekas jaguh sukan layar dilantik chef de mission S'pura bagi Sukan Olimpik 2020

SINGAPURA: Bekas atlit sukan layar negara Ben Tan akan mengetuai kontinjen Team Singapore sebagai chef de mission di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, umum Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dalam kenyataan medianya pada Rabu (28 Ogos).

Pemenang pingat emas Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia yang pernah bertanding di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996 berkata beliau menantikan Tokyo 2020 "dengan penuh keghairahan".

"Sukan Olimpik ibarat mercu kejayaan seseorang atlit dan ramai yang bekerja keras untuk mencapai puncak kecemerlangan itu. Pelantikan ini adalah satu penghormatan dan satu tanggungjawab yang besar," kata beliau.

Dr Tan juga adalah seorang doktor yang pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan Majlis Sukan Singapura dan menggalas tugas sebagai doktor sukan Team Singapore semasa Sukan Asia dan Sukan SEA antara 1996 hingga 2003.

Pada 2018, Dr Tan dilantik sebagai naib presiden SNOC dan mempengerusikan Suruhanjaya Atlit SNOC yang pertama pada 2005.

Mantan Anggota Parlimen Dilantik itu juga mempengerusikan suruhanjaya perubatan World Sailing.

Setiausaha Agung SNOC Chris Chan berkata: "Dr Ben Tan tidak asing dengan masyarakat sukan Singapura. Pengalamannya yang meluas sebagai seorang atlit dan doktor sukan akan menambah nilai yang besar kepada kontinjen kita."

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung di Jepun antara 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

- CNA/TQ/tq

Top