Images
  • soccer (3)
    Serge Gnabry menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua sedang Bayern Munich menewaskan Tottenham 7-2. (Gambar: Glyn KIRK/IKIMAGES/AFP)

Bayern tewaskan Tottenham 7-2 dalam Liga Juara-Juara

LONDON: Serge Gnabry menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua sedang Bayern Munich menewaskan Tottenham 7-2 dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi (2 Sep).

Ia merupakan kekalahan terbesar yang dialami kelab Inggeris itu di padang sendiri dalam mana-mana pertandingan Eropah.

Juara Bundesliga itu terlebih dahulu ketinggalan di belakang apabila Son Heung-min menjaringkan gol. Namun ia bangkit melakar kejutan pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Penyerang Spurs Harry Kane memberikan tuan rumah sedikit harapan apabila merapatkan jurang gol kepada 4-2 pada satu ketika menerusi penalti tetapi ini tidak dapat mengatasi juara Eropah lima kali itu yang mempamerkan kehandalan menyempurnakan perlawanan.

“Ia adalah malam yang hebat untuk Bayern Munich dan bola sepak Jerman,” kata pengurus Bayern, Niko Kovac. “Bermain di England amat unik.

“Saya rasa kasihan pada rakan sejawatan saya (Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino)," katanya sambil memuji Gnabry sebagai ‘menakjubkan’ dan Manuel Neuer kerana menyekat asakan gol Bayern.

Spurs yang mara ke final Liga Juara-Juara pada Jun lalu dan tewas kepada Liverpool juga melalui permulaan yang hambar pada pertandingan tahun lalu apabila hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan pertama.

Pochettino kini menghadapi tugas sukar untuk mengembalikan semangat pasukannya selepas permulaan musim yang tidak meyakinkan.

“Apa yang penting adalah untuk kekal tenang, tidak terburu-buru membuat analisa, tidak tergesa-gesa membuat pertimbangan dan melakukan penilaian,” kata Pochettino yang memuji penyempurnaan Bayern dengan 11 percubaan yang menepati sasaran. 

- AFP/NA/na

Top