Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Baihakki sarung semula jersi Singa bagi kelayakan Piala Dunia

Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak negara Baihakki Khaizan bakal menyarung jersi Singapura sekali lagi pada bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Baihakki sarung semula jersi Singa bagi kelayakan Piala Dunia

Baihakki Khaizan semasa sesi latihan pasukan negara pada 2018 (Gambar: Instagram/Baihakki Khaizan)

SINGAPURA: Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak negara Baihakki Khaizan bakal menyarung jersi Singapura sekali lagi pada bulan depan.

Berita mengejut ini didedahkan oleh jurulatih negara Tatsuma Yoshida pada Selasa (27 Ogos) apabila beliau mengumumkan senarai 23 pemain yang dipilihnya untuk berdepan dengan Yaman dan Palestin bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Konfederasi Asia (AFC) 2023.

Dalam senarai 23 nama yang diumumkan, nama Baihakki adalah yang paling mengejutkan, memandangkan pemain berusia 35 tahun itu memutuskan untuk mengumumkan persaraannya daripada pasukan bola sepak negara pada Mac tahun ini.

Menerangkan keputusannya untuk memanggil semula pemain veteran yang sudah 134 kali menyarung jersi pasukan Singa itu, Yoshida berkata keputusannya itu adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan Baihakki semasa bermain untuk kelab Trat FC dalam Liga Thailand.

"Baihakki kerap dipilih dan bermain 90 minit penuh untuk Trat, yang kini menduduki tangga ke-7 dalam Liga Thai," jelas Yoshida seperti dilaporkan oleh Fox Sports.

"Saya menyaksikan perlawanannya, kondisi dan prestasinya bagus.

"Semasa saya bercakap dengannya, beliau bersetuju untuk kembali ke pangkuan pasukan negara, namun Baihakki tahu bahawa beliau perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan pertama."

Berita mengenai penyertaan Baihakki dalam senarai 23 pemain itu disambut baik oleh para penyokong di media sosial.

"Baihakki kembali dari persaraan adalah berita baik!" tulis @_mrbrbi di catatan Instagram FAS.

"Kami perlukan Baihakki!" menurut @zanyssk

Pemilik akaun @aghori_01 pula menulis di catatan terbaru Instagram Baihakki: "Anda kembali bersama pasukan Singa, woohoo!!!"

PEMAIN MAPAN, BARU BERGANDING BAHU

Selain Baihakki, nama-nama pemain berpengalaman yang turut dipilih termasuk pemain penyerang Khairul Amri, yang mewakili Singapura sebanyak 132 kali, Hariss Harun (94 kali), Safuwan Baharudin (89 kali) dan penjaga gawang Hassan Sunny (83 kali).

Mereka bakal digandingkan dengan para pemain yang agak baru termasuk tiga pemain yang menurut FAS dipanggil buat pertama kali untuk pasukan negara - Zharfan Rohaizad (penjaga gawang), Darren Teh (pemain pertahanan) dan Hazzuwan Halim (penyerang).

Malah dalam kalangan 23 pemain, lapan daripada mereka - iaitu lebih sepertiga pasukan - mewakili negara kurang 10 kali.

"Saya yakin terhadap kebolehan skuad ini dan kami akan bermain dengan pemikiran positif. Saya berasa tenang dan amat teruja memasuki fasa terakhir persiapan, sedang kami menyasarkan kemenangan di padang sendiri," ujar Yoshida.

Menurut FAS, pasukan Singa akan memulakan latihan pusat pada Isnin 2 September sebelum perlawanan pertama menentang Yaman di Stadium Negara pada 5 September dan kemudian berdepan dengan Palestin pada 10 September di Stadium Jalan Besar.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan