Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bagaimanakah cabaran atlit Sukan Asia dengan enam jari di kaki? Ini kisahnya...

Apabila anda dilahirkan dengan enam jari di kedua-dua belah kaki, anda pasti berdepan masalah untuk memilih kasut, terutama jika anda seorang atlit antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimanakah cabaran atlit Sukan Asia dengan enam jari di kaki? Ini kisahnya...

Swapna Barman yang mempunyai enanm jari di setiap kaki (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 08:33AM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 08:39AM

JAKARTA: Apabila anda dilahirkan dengan enam jari di kedua-dua belah kaki, anda pasti berdepan masalah untuk memilih kasut, terutama jika anda seorang atlit antarabangsa.

Itulah yang dialami oleh atlit heptatlon India, Swapna Barman, 21 tahun.

Membuat penampilan sulung dalam Sukan Asia di Incheon empat tahun lalu, Swapna bimbang dengan pemilihan kasut yang akan digunakan apabila heptatlon membuka tirai pada 28 Ogos di temasya sukan itu di Jakarta.

“Menjelang pertandingan, perkara utama yang membimbangkan saya adalah tidak mendapat kasut yang tepat untuk acara lompat tinggi," kongsi atlit itu bersama Reuters.

“Saya tidak pernah memiliki kasut yang ditempah khas dan saya selama ini menggunakan satu model kasut tertentu yang malangnya kini sudah tidak ada lagi di India. Saya masih ada sepasang kasut lama dan akan menggunakannya di Jakarta,” tambah Cik Barman.

Kehidupan atlit olahraga di India agak sukar kerana kebanyakan sukan Olimpik bergantung kepada geran kerajaan, dan keadaan kaki Cik Barman yang unik menambah cabaran buat gadis yang berasal dari keluarga miskin di bandar timur India, Jalpaiguri.

Kasut buatan tempatan tidak cukup bagus untuk digunakan dalam pertandingan, justeru Cik Barman cuba menggunakan beberapa jenama namun kemudian menyedari beliau terpaksa menggunakan kasut bersaiz biasa.

Memiliki jari tambahan bermakna beliau menanggung kesakitan setiap kali mendarat dalam acara lompatan. Ia juga bermakna kasut tidak tahan lama tetapi sejauh ini beliau menolak saranan untuk menjalani pembedahan bagi membuang jari-jari tambahannya.

“Ini masalah yang perlu saya tanggung seumur hidup saya," ujar Cik Barman.

“Ada orang mencadangkan saya melakukan pembedahan untuk membuang jari tambahan tetapi saya tidak pasti tentang perkara itu. Apa pun, tumpuan saya sekarang hanya kepada Sukan Asia.”

Acara heptatlon memerlukan atlit beraksi dalam tujuh disiplin iaitu 100, 200 dan 800 meter, selain lompat tinggi, lontar peluru, lompat jauh serta rejam lembing.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan