Images
  • bikerssilatsg sign contract
    Gambar-gambar ihsan: Erman Eusope

Awie Wings, Bikers Silat SG ganding bahu dengan PERSISI kembangkan minat terhadap silat

BERITAmediacorp: Satu gandingan yang unik lagi menarik terbentuk apabila kumpulan mat motor setempat berganding bahu dengan sebuah kugiran rock yang tersohor di rantau ini.

Cuba teka apakah faktor atau minat yang menyatukan kedua-dua pihak?

Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan - silat!

Bagi mendampingi lebih ramai anak muda supaya menyemarakkan lagi medan silat tanah air, Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan beberapa kumpulan mat motor setempat.

Hab sukan Heartbeat@Bedok menjadi lokasi di mana sekitar 250 mat motor dan ahli keluarga mereka berhimpun pada Ahad (6 Okt) sempena perasmian kerjasama antara PERSISI dengan 34 kumpulan mat motor.

Diberi nama Bikers Silat SG, logo perikatan baru itu turut dilancarkan sempena perasmian tersebut, dengan lebih banyak lagi kumpulan mat motor dijangka menyertainya dalam masa beberapa bulan akan datang.


“Sejak acara itu, kami sudahpun menerima beberapa panggilan daripada kumpulan-kumpulan motorsikal yang lain. Mereka juga mahu menjadi anggota Bikers Silat SG selepas mengetahui tentang program-program kami,” kata Erman Eusope, 45 tahun yang mengusulkan idea untuk mengadakan kerjasama sedemikian Julai lalu.

BANTU TINGKAT KEMAHIRAN

Hasil perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PERSISI Sheik Alau'ddin Yacoob Marican dan beberapa kumpulan motosikal yang lain, beberapa program eksklusif sudahpun dirancangkan bagi para anggota Bikers Silat SG.

Ketua Wings MG Society di Singapura itu turut berkongsi bahawa para mat motor Bikers Silat SG berpeluang meraih pelbagai manfaat daripada program-program yang dirancangkan itu, bukan saja buat diri mereka sendiri tapi juga untuk seisi keluarga mereka.


Erman (paling kiri) bersama mat motor yang lain. (Gambar: Erman Sleazefunk/Facebook)

Misalnya, sebagai sebahagian daripada usaha PERSISI untuk mencungkil bakat-bakat baru, program First 100 mengundang anak-anak mat motor itu untuk menyertai sesi-sesi latihan sepanjang tiga bulan, sebanyak tiga kali seminggu.

Para pelatih akan dinilai dan mereka yang memperlihatkan bakat yang cemerlang berpotensi melangkah ke skuad negara, sekaligus berpeluang menimba pengetahuan dan kemahiran daripada para pendekar dan srikandi Team Singapore yang lain.

Di samping itu, PERSISI juga menyediakan kursus-kursus percuma bagi mereka yang mahu menceburi dunia sukan silat sebagai seorang jurulatih ataupun wasit. Melalui kursus-kursus tertentu yang diadakan antara enam hingga 12 bulan, para pelatih turut berpeluang untuk mendapatkan sijil pentauliahan yang akan mencerahkan potensi mereka untuk bertugas sebagai jurulatih ataupun wasit.


Antara anggota Bikers Silat SG. 

“Sejauh ini, kami hanya berkumpul untuk barbeque ataupun melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Tapi sekarang, kami boleh aktif bersukan juga. Tambahan pula, dengan kursus-kursus yang dianjurkan secara percuma, anggota-anggota kami boleh mendapatkan kerja sambilan untuk menambah pendapatan sebagai jurulatih, juri dan sebagainya,” luah Encik Erman.

Bagi pihak PERSISI pula, selain memperluaskan lagi rangkaiannya, ia juga bakal meraih manfaat daripada sumber tenaga kumpulan-kumpulan mat motor tersebut yang sudahpun mencecah seramai beratus-ratus anggota.

Encik Erman sendiri yang menganggotai kumpulan mat motor Harley Davidson berkata bahawa antara khidmat yang boleh dihulurkan oleh kumpulan-kumpulan mat motor itu adalah kerja-kerja kemasyarakatan ataupun projek-projek amal yang dianjurkan bersama PERSISI.

BERITAmediacorp juga difahamkan bahawa vokalis kugiran rock Wings, Awie yang tidak dapat hadir di majlis perasmian kerjasama itu disebabkan konsert di Kuala Lumpur, turut berminat untuk bekerjasama dan menjayakan projek ini dan mengembangkannya lagi, menurut Encik Erman.


Awie Wings turut mengalu-alukan kerjasama itu. (Gambar: Wings MG Society-Singapura/Facebook) 

IDEA TERCETUS SECARA SPONTAN

Menariknya, idea bagi kerjasama itu diusulkan secara spontan.

“Sebenarnya, saya berjumpa Sheik untuk berbincang tentang perkara lain selaku penganjur acara. Tapi sedang kami giat berbincang, saya terdapat ilham untuk menggabungkan anggota mat motor dengan para pesilat kerana saya rasa ada banyak manfaat yang boleh kita raih,” kata Encik Erman yang menambah bahawa idea beliau turut disokong anggota-anggota kumpulan motosikal lain termasuk Encik Hazaan Lee daripada Bikers Union SG dan Encik Malik Pakara daripada Singapore Bikers Inclub pada ketika itu.

Menurut anggarannya, sekitar 70 hingga 80 peratus daripada mat motor yang hadir Ahad lalu bakal mendapat manfaat daripada gandingan tersebut. Dengan itu, beliau terdorong untuk terus melakar program-program lain yang boleh dianjurkan oleh kedua-dua pihak.

Bagi yang berminat, mereka boleh menyertai kumpulan sembang WhatsApp Bikers Silat SG melalui http://bit.ly/WMGSBikersSilat atau mengikuti Facebook Wings MG Society-Singapura bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

Encik Erman turut melahirkan harapan agar anggota masyarakat yang lain dan bukan sekadar mat motor akan menyokong inisiatif ini.

“Saya harap lebih ramai dapat turut serta agar dapat menyemarakkan lagi dunia sukan silat negara!” kata beliau.

- BERITAmediacorp/sm

Top