Images

Atlit terjun cantik S'pura sasar layakkan diri ke Olimpik Tokyo

SINGAPURA: Atlit terjun cantik Singapura Mark Lee menangguhkan rancangan untuk bersara dari bidang sukan untuk mencuba nasib buat kali terakhir di pentas terbesar dunia.

Maka itu, beliau menjaga pemakanan, giat berlatih dan sebagainya.

Kemudian, awal bulan ini beliau dikejutkan dengan berita bahawa Piala Dunia bagi Acara Terjun Cantik FINA di Jepun tidak akan dijalankan. Ia bertujuan sebagai pusingan kelayakan bagi acara sukan Olimpik di Tokyo.

"Boleh anda bayangkan, (setelah) setahun saya tangguhkan untuk bertanding dalam sukan Olimpik dan kemudian saya terima mesej itu, (saya terfikir) 'apa yang berlaku?"' kata atlit berusia 26 tahun itu hari ini (17 Apr).

Pada waktu itu, tiada kepastian sama ada acara itu akan dibatalkan atau hanya ditangguhkan, memandangkan keadaan COVID-19 di Jepun kelihatan semakin teruk.

"Terdapat pelbagai jenis spekulasi. Sebahagian orang mengatakan, jika mereka batalkannya, mereka akan menggunakan markah daripada kejohanan dunia dua tahun lalu. Jika begitu, masa yang saya lanjutkan tahun lalu sia-sia belaka," kata Lee.

"Sebahagian yang lain pula mengatakan mungkin Jawatankuasa Olimpik akan menyatakan bahawa mereka akan membatalkan Piala Dunia ini (jadi) setiap negara akan mendapat dua tempat."

Rasa kecewa itu bukan saja dirasakan oleh Lee seorang.

Beberapa anggota pasukan terjun cantik Team Singapore juga menyasarkan untuk menyertai pertandingan tersebut, yang dijadual diadakan dari 16 April hingga 23 April.

"Saya dikejutkan pagi itu oleh ibu. Kemudian beliau memberitahu saya, mungkin disebabkan saya penat, saya mula menangis. Kerana peluang itu hilang begitu sahaja. Saya tidak dapat mencuba langsung,"cerita seorang lagi atlit terjun cantik, Ashlee Tan.

"Namun apabila saya baca berita itu, mereka sedang cuba mencari lokasi dan waktu alternatif. Jadi dalam fikiran saya, ia tidak dibatalkan, ia hanya ditangguhkan tanpa dinyatakan sampai bila."

PERCUBAAN TERAKHIR

Penganjur acara itu akhirnya mengumumkan bahawa Piala Dunia acara Terjun Cantik FINA akan tetap diadakan di Tokyo. Namun dua minggu selepas tarikh awal yang dirancang.

Ia kini dijadual berlangsung dari 1 Mei hingga 6 Mei, dengan Singapura menghantar tujuh atlit terjun cantik.

Selain Lee dan Tan, yang lain ialah Jonathan Chan, Max Lee, Freida Lim, Fong Kay Yian dan kembar Tan, iaitu Timothy.

Meskipun terdapat ketidakpastian itu, para atlit berkenaan cuba untuk tidak patah semangat dan terus berlatih.

"Sukar untuk berlatih kerana saya tidak ada sasaran untuk dicapai," kata Lee.

"Mudah bagi saya untuk sekurang-kurangnya berusaha ke arah sesuatu jika saya tahu ada yang ingin dikecapi. Jadi apabila mereka kata ia sudah dibatalkan dan (tiada) tarikh ganti, itu mengejutkan saya."

Lee berkata beliau membuka laman FINA dan kerap menantikan kemas kini.

"Kami hanya menunggu, menunggu berita - ia sukar," kata beliau.

"Ia dibatalkan dan kemudian ia menjadi TBC (menunggu kepastian), (dan) apabila saya melihatnya saya rasa 'Hey, mungkin ada peluang'."

Bagi Tan, ini memberikannya peluang untuk berlatih teknik terjun cantik kerana beliau masih perlu berlatih memperhalusi salah satu tekniknya.

"Pada mulanya, ia agak sukar kerana anda tiada sasaran waktu tertentu. Ia seolah-olah anda tidak tahu bila ia akan diadakan - bagaimana saya boleh kejar sesuatu yang belum tentu ada?
 kata beliau.

"Namun saya ada masalah dalam salah satu teknik terjun cantik. Jadi bagi saya, ini adalah masa yang diberikan untuk melakukan yang terbaik dan memperbaiki teknik terjun cantik saya."

Kontinjen Singapura akan berlepas ke Jepun pada 26 April.

"Tahun lalu agak kucar-kacir tetapi (bertanding ) dalam sukan Olimpik adalah sesuatu yang saya impikan. Untuk ke Piala Dunia, saya akan lakukan yang terbaik," kata Lee, yang akan bertanding dalam acara terjun cantik papan anjal (springboard) 3 meter.

Singapura akan bertanding dalam 5 acara termasuk papan anjal tiga meter dan platform 10 meter.

Jika berjaya, mereka akan mengikut jejak langkah Jonathan Chan yang sudah melayakkan diri ke temasya Olimpik selepas menjuarai Piala Sukan Papan Anjal Asia 2019.

- CNA/NK/nk

Top