Images
  • team singapore
    Team Singapore di upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo. (Gambar: SNOC)

Atlit Team S'pore bakal diberi penghormatan di Parlimen

SINGAPURA: Para atlit Team Singapore akan diberi penghormatan di Parlimen bagi meraikan pencapaian mereka di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.

Demikian menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan media hari ini (28 Sep).

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong akan mengemukakan usulan di sidang Parlimen akan datang pada Oktober.

Usulan itu berbunyi: "Dewan ini mengucapkan tahniah kepada para atlit Olimpik dan Paralimpik Team Singapore kita, terutamanya Cik Yip Pin Xiu, pemenang pingat emas Paralimpik sebanyak lima kali, atas pencapaian mereka di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo."

Yip menamatkan kempen Paralimpik Tokyo dengan dua pingat emas dan berjaya mempertahankan gelaran-gelaran yang dimenangi di Rio pada 2016 - iaitu dalam acara S2 kuak lentang 50 meter dan 100 meter wanita.

Walaupun kontinjen Olimpik Singapura tidak membawa pulang sebarang pingat, terdapat beberapa prestasi yang "amat menggalakkan", kata Encik Tong semasa temasya Sukan itu pada Ogos.

Para atlit Olimpik dan Paralimpik Team Singapora, bersama-sama dengan para wakil serta pegawai utama yang memberi sokongan kepada mereka sepanjang kedua-dua Sukan itu, akan diundang untuk ke sidang Parlimen pada 4 Oktober.

"Team Singapore memberi inspirasi kepada kita melalui sukan untuk berusaha mencapai kecemerlangan. Semangat waja mereka untuk meraih pencapaian demi negara menyatukan rakyat Singapura dan membangkitkan rasa bangga kepada Singapura," menurut MCCY.

Kementerian itu menambah Encik Tong juga akan berucap tentang bagaimana pelaburan Pemerintah dalam Sistem Prestasi Tinggi berusaha untuk menyokong dan mewujudkan peluang bagi semua warga Singapura yang mempunyai bakat dan minat untuk menyertai sukan di peringkat elit.  

- CNA/FZ/fz

Top