Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit S’pura ukir nama, cipta sejarah di persada sukan serantau & antarabangsa tahun lalu

2019 adalah tahun yang cukup bermakna bagi sebilangan atlit dan persatuan sukan tempatan yang bukan saja mencipta sejarah malah ada juga yang muncul juara dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit S’pura ukir nama, cipta sejarah di persada sukan serantau & antarabangsa tahun lalu

Tahun 2019 sarat dengan rekod baru dan pelbagai sejarah sukan tempatan turut tercipta.

BERITAmediacorp: 2019 adalah tahun yang cukup bermakna bagi sebilangan atlit dan persatuan sukan tempatan yang bukan saja mencipta sejarah malah ada juga yang muncul juara dunia.

BERITAmediacorp menyingkap detik-detik tersebut sedang kami menjangkakan lebih ramai atlit muda akan mengukir nama di persada sukan tanah air dan serantau pada 2020.

PERENANG MUDA MENGAGUMKAN

Darren Chua (tengah) memenangi pingat emas dalam acara gaya bebas 200m. (Gambar: Matthew Mohan)

Singapura terus memperlihatkan kehebatannya dalam kolam renang di peringkat Asia Tenggara. Di Manila, kontinjen renang negara terus mempamerkan prestasi yang cemerlang bagi meraih dari satu pingat ke satu pingat yang lain dan mencipta sejarah baru Sukan SEA dengan merangkul sebanyak 23 pingat emas secara keseluruhannya bagi edisi ke-30 temasya sukan tersebut.

Lebih menarik lagi, separuh daripada pungutan pingat itu adalah berkat sumbangan perenang-perenang muda negara termasuk Darren Chua, Jonathan Tan, Gan Ching Hwee, Christie Chua dan Elena Pedersen. Manalah tahu negara kecil seperti Singapura mampu melahirkan seorang lagi jaguh Olimpik selepas Joseph Schooling?

'HOME RUN' SKUAD BOLA LISUT

Pasukan bola lisut catat sejarah menang emas pertama di Sukan SEA. (Gambar: Sport Singapore)

Meskipun dibelasah 8-0 oleh Filipina dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Sukan SEA ke-30, skuad bola lisut Singapura mengejutkan Blu Boys 6-1 dalam perlawanan akhir sekali gus muncul juara buat julung-julung kalinya dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Pencapaian tersebut bertambah manis memandangkan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi termasuk berpindah ke tempat latihan sementara setelah padang mereka di Kallang ditutup. Kisah kejayaan skuad Republik kita memang boleh dijadikan sebagai teladan buat pasukan-pasukan lain di negara ini.

PENDEKAR NEGARA TEBUS MARUAH

Hazim akhirnya berjaya tundukkan Hidayat Lomu dari Indonesia. (Gambar: Izwan Ohtman)

Selepas berbulan-bulan menantikan peluang, Muhd Hazim Mohd Yusli akhirnya berjaya melenturkan seteru utamanya dari Indonesia, Hidayat Limonu dalam pertarungan separuh akhir Kelas B (50 - 55kg) di gelanggang Sukan SEA Manila.

Malah, dengan kemenangan itu, pesilat yang baru berusia 18 tahun itu berjaya mara ke peringkat akhir di mana beliau akhirnya muncul juara selepas mengalahkan Nguyen Dinh Tuan dari Vietnam 3-2.

Berpuas hati dengan pencapaian beliau dalam kelas tersebut, Hazim mengongsi bahawa beliau akan beralih ke kategori lebih berat pula. Adakah pendekar kita ini akan terus mencapai kecemerlangan pada 2020?

PELUMBA BASIKAL PERTAMA MENANG KEJOHANAN ASIA

Jonathan Tan (kiri), Riyadh Hakim (tengah) dan Junaidi Hashim (kanan) menyambut kemenangan pertama atlit Singapura dalam Kejohanan Berbasikal Asia. (Gambar: Riyadh Hakim/Facebook)

Buat julung-julung kalinya, seorang pelumba basikal dari Singapura berjaya membawa pulang pingat emas daripada Kejohanan Lumba Basikal Asia atau Asian Cycling Championships (ACC).

Pelumba basikal tanah air, Riyadh Hakim Lukman, mencipta sejarah selepas menjuarai Cross-Country Eliminator (XCE) di Kejohanan Lumba Basikal Urban Asia 2019.

Atlit berusia 21 tahun itu berjaya menyingkirkan 12 pelumba lain dalam perlumbaan litar ‘urban’ sepanjang 610m di Jakarta, Indonesia pada Oktober lalu.

MUSIM LEBIH DARI ‘MEMUASKAN‘ BAGI SRIKANDI BOLA LANTAI

Pasukan bola lantai wanita Singapura menundukkan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir di Sukan SEA ke-30 pada 1 Dis. (Gambar: Izwan Ohtman)

Musim srikandi sukan bola lantai tahun ini sangat padat tapi penuh dengan kenangan manis. Apakan tidak, sebaik saja selepas meraih pingat emas Sukan SEA pada 1 Disember, johan Asia Tenggara itu terus berangkat ke Switzerland untuk bertanding dalam Kejuaraan Bola Lantai Dunia pula.

Lebih membanggakan lagi, para atlit negara berjaya memperbaiki kedudukan mereka dalam arena sukan tersebut. Skuad negara melabuhkan tirai kempen mereka di tempat ke-12 selepas menduduki tangga terakhir dalam edisi-edisi sebelum ini. Mereka menundukkan beberapa pasukan hebat sepanjang temasya itu termasuk Amerika Syarikat 7-2 dan Australia 4-3.

ATLIT LAWAN PEDANG BERTARAF DUNIA

Amita Berthier (kiri) dan Maxine Wong (kanan) bertempur dalam perlawanan akhir. (Gambar: Matthew Mohan)

Sebut saja sukan lawan pedang, pasti nama Amita Berthier tidak jauh dari tepi bibir. Ini kerana prodigi berusia 19 tahun itu dinobat sebagai juara di Kejohanan Asia dan Sukan Lawan Pedang Kadet sekali gus mendahului ranking dunia bagi peringkat atlit muda.

Sebelum ini, tiada seorang pun rakyat Singapura yang pernah menduduki tempat pertama dalam ranking sukan lawan pedang antarabangsa. Syabas kepada beliau!

"CHINESE SLAYER" TUNDUKKAN GERGASI BADMINTON

Loh Kean Yew bertanding di Sukan SEA ke-30. (Gambar: CNA)

Awal tahun lalu, pemain badminton negara, Loh Kean Yew menggemparkan bukan saja rakyat Singapura tapi juga masyarakat sukan antarabangsa apabila beliau mengalahkan jaguh dunia, Lin Dan dari China.

Selain Lin Dan, atlit muda berusia 22 tahun itu juga menewaskan empat lagi pemain yang sejak sekian lama sudah mendominasi gelanggang badminton dunia dan atas pencapaian luar biasa itu Loh mendapat gelaran "Chinese Slayer". Beliau mengecapi kejayaan hebat itu pada Januari lalu dalam Kejohanan Masters Puteri Sirivannavari Thailand.

RAJA AIS

Trevor Tan menyambut kemenangannya di Sukan SEA. (Gambar: Vic Sent Pok)

Sepanjang tahun lalu, Trevor Tan, 16 tahun harus bangun jauh lebih awal untuk berlatih sepenuh masa di Korea Selatan. Kerja keras atlit muda itu nampaknya berjaya membuahkan hasil dengan beberapa pencapaian mengagumkan pada 2019.

Ini termasuk pingat emas dalam acara Short Track 1,000 meter di Kejuaraan Asia Ogos lalu. Bulan ini pula, beliau bakal bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk Belia di Lausanne. BERITAmediacorp mengharapkan yang terbaik buat Trevor!

AKHIRNYA GENGGAM EMAS

Cherie Tan dan rakan-rakan sepasukan bergambar selepas beliau tampil juara dunia. (Gambar: Singapore Bowling Federation)

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pemain boling Singapura Cherie Tan hanya dapat berpuas hati dengan pingat perak saja. Namun, 2019 ternyata tahun yang sangat bertuah bagi atlit veteran negara itu.

Cherie akhirnya berjaya merangkul pingat emas di Kejohanan Boling Dunia Wanita dalam kategori Masters. Malah, atlit kebanggaan negara itu merupakan pemain boling pertama dari Singapura yang berhasil mengecapi kejayaan tersebut. Lebih daripada itu, selang seminggu kemudian, beliau menjadi pemain Asia pertama untuk memenangi Kejohanan Persatuan Pemain Boling Profesional Wanita iaitu antara kejohanan yang paling berprestij di dunia.

PERTAMA KALI MASUK GELANGGANG SUDAH JUARA DUNIA

Constance Lien mendominasi kempen beliau di Sukan SEA ke-30 sekali gus muncul sebagai johan. (Gambar: Sport Singapore)

Pada Mei 2019, Constance Lien membuat penampilan sulung di Kejohanan Jiu-jitsu IBJJF Dunia. Siapa yang menyangka atlit 19 tahun tersebut berupaya mengalahkan lawannya satu per satu sehingga muncul sebagai juara dunia.

Sejak itu, prestasi cemerlangnya itu terus mendapat perhatian sehingga meraih pingat emas di Sukan SEA di Manila baru-baru ini. Rakyat Singapura pastinya akan mengikuti perkembangan pemain jiu-jitsu negara ini sedang beliau terus berusaha untuk mengharumkan nama Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan