Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit S’pura gigih berlatih semasa Ramadan meski latihan dihambat COVID-19

Sejak ‘circuit-breaker’ atau langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan 7 April lalu, persiapan para atlit Singapura bagi musim sukan masing-masing turut terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit S’pura gigih berlatih semasa Ramadan meski latihan dihambat COVID-19

Syazni Ramlee (kiri), Sheik Farhan Sheik Alauddin (tengah) dan Arfan Faisal (kanan) masih gigih berlatih Ramadan ini di tengah-tengah situasi COVID-19. (Gambar-gambar: Syazni Ramlee, CNA & Arfan Faisal)

SINGAPURA: Sejak ‘circuit-breaker’ atau langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan 7 April lalu, persiapan para atlit Singapura bagi musim sukan masing-masing turut terjejas.

Sesi-sesi latihan mereka terpaksa digantung buat sementara waktu sebagai sebahagian daripada langkah jarak selamat yang dilaksanakan untuk membendung penularan virus yang boleh membawa maut itu.

“Saya tidak pernah mengalami pandemik global seperti ini. Ia semacam filem seram yang menjadi realiti” kata pesilat Sheik Farhan Sheik Alauddin.

Sheik Farhan Sheik Alauddin bertarung di gelanggang kejuaraan dunia yang lalu. (Gambar: BERITAmediacorp)

Jaguh dunia itu tidak dapat turun gelanggang untuk memperhalusi kemahiran dan meningkatkan prestasi di bawah tunjuk ajar dan bimbingan jurulatihnya dan ini sekalipun Kejohanan Pencak Silat Sedunia sepatutnya dijadual berlangsung Disember ini.

Sementara itu, pelumba basikal bukit Arfan Faisal pula hanya mampu mengulang kaji teknik berlumba menerusi latihan pengvisualan atau ‘visualization’. Sebelum ini pelumba negara tersebut gigih berlatih bagi Siri Basikal Bukit Asia (AMS) tapi kejohanan berkenaan sudahpun ditunda.

“Motivasi sememangnya adalah salah satu isu yang saya hadapi. Oleh sebab kurangnya pengalaman bersaing, mudah untuk kita rasa tidak tentu arah,” luah atlit yang menduduki tempat keempat dalam AMS Tambunan, Sabah dua tahun lalu.

Arfan Faisal beraksi di salah satu perlumbaan luar negara. (Gambar ihsan: Arfan Faisal)

Bayangkan pula kejanggalan atlit-atlit sukan berpasukan seperti para anggota skuad bola lantai Singapura yang terpaksa berlatih seorang diri bagi persiapan untuk bertanding di Kejohanan Bola Lantai Sedunia menjelang hujung tahun ini.

Pasukan bola lantai negara adalah yang ketiga terbaik dalam Zon Asia-Oceania dan dengan itu layak ke peringkat akhir kejohanan unggul tersebut dari 4 hingga 12 Disember.

Meskipun persiapan mereka terjejas, kapten pasukan Syazni Ramlee tetap positif krisis COVID-19 akan berakhir suatu hari kelak dan sesi latihan boleh kembali seperti biasa.

Singapura di ranking ketiga dalam kalangan pasukan bola lantai Asia-Oceania. (Gambar ihsan: Syazni Ramlee)

“Tentu sekali kami terjejas tapi memang seluruh dunia turut sama terjejas. Yang penting adalah untuk mengharungi semua ini bersama,” ujar beliau.

MANFAAT PELUANG BINA KECERGASAN

Buat masa ini, latihan masih diteruskan tapi tumpuan dan wadahya berbeza. Ketiga-tiga atlit kini lebih fokus kepada latihan yang meningkatkan kecergasan kerana latihan teknik dan kemahiran terbatas.

Syazni berkongsi bahawa anggota pasukan bola lantai diberi program jasmani khas yang menekankan aspek kardiovaskular lantas banyak senaman larian. Mereka turut menggunakan aplikasi persidangan video Zoom agar dapat berlatih secara bersama.

“Apa yang membakar semangat saya adalah kemahuan untuk terus memperbaiki diri, belajar dan menjadi yang terbaik. Melihat para pemain muda dalam pasukan berlatih dengan bersungguh-sungguh juga memberi saya motivasi,” tambah beliau.

Arfan Faisal memanfaatkan Zwift untuk terus berlatih di rumah. (Gambar ihsan: Arfan Faisal)

Menariknya, Arfan pula mendedahkan beliau sebenarnya lebih banyak menumpukan perhatian kepada tahap kecergasannya sewaktu ‘circuit-breaker’ berbanding sebelum ini dengan memanfaatkan platform berbasikal digital Zwift.

“Oleh sebab tidak digalak keluar rumah dan tidak boleh ke kerja, saya kini ada lebih masa terluang untuk berlatih lebih banyak lagi,” kata atlit muda yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara itu.

Manakala Farhan pula, rasa beruntung dapat meminjam peralatan daripada Institut Sukan Singapura dan Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) untuk berlatih bersama abangnya Sheik Ferdous Sheik Alauddin yang juga seorang jaguh silat.

Pasangan adik-beradik itu membina kecergasan mengikut program yang disesuaikan dengan peralatan-peralatan yang dipinjam dan menajamkan teknik bertarung melalui sesi ‘sparring’ antara satu sama lain.

Sheik Farhan beruntung dapat berlatih bersama abangnya Sheik Ferdous sepanjang tempoh 'circuit-breaker' ini. (Gambar ihsan: Sheik Farhan Sheik Alauddin)

RAMADAN YANG MENCABAR

Sesi-sesi latihan di tengah-tengah krisis COVID-19 semakin lebih mencabar dengan tibanya bulan Ramadan.

Tekanannya bertambah sengit bagi para atlit ‘carded’ iaitu mereka yang menerima sokongan dana daripada badan sukan negara, Sport Singapore (SportSG). Ini kerana mereka perlu terus mencapai kecemerlangan dalam sukan masing-masing untuk terus menikmati sokongan tersebut.

“Cabaran utama adalah saya tidak mampu berlatih pada siang hari. Ini bermakna saya akan mengayuh basikal pada sebelah malam, ada kalanya sehingga 5 jam.

Sebelum langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ditingkatkan, Arfan Faisal sering berlatih sendiri di jejak basikal bukit di Chestnut. 

“Ia lebih perit kerana basikal tidak bergerak apabila menggunakan Zwift. Walau bagaimanapun, saya tetap melakukannya,” kata Arfan yang mengayuh sehingga 17 jam dalam tempoh ini.

Selepas sekian lama berlatih sewaktu bulan Ramadan, Farhan pula berkata beliau sudah 'terbiasa' dan tidak begitu tertekan kerana yakin Singapura akan dapat mengharungi pandemik ini dan sebagai seorang yang bergelar atlit negara, beliau perlu bersiap sedia untuk banyak lagi kejuaraan selepas pandemik ini berakhir.

Bagi Syazni pula, yang sedang beransur pulih daripada kecederaan, beliau harus ‘mencuri’ masa selepas bekerja atau meluangkan masa pada lewat malam setelah berbuka untuk berlatih sehingga lima kali seminggu.

Syazni menerima pingat setelah pasukan bola lantai Singapura menduduki tempat kedua di Sukan SEA tahun lalu. (Gambar: BERITAmediacorp)

“Kesannya memang dapat dirasai kita semua tapi saya bangga meskipun banyak langkah yang terpaksa dilaksanakan, kami semua bekerjasama dan cuba merubah kehidupan untuk menyesuaikan diri,” kata beliau yang baru mendirikan rumah tangga tahun lalu.

MASA UNTUK BERMUHASABAH

Di sebalik situasi genting yang melanda dunia sekarang, mungkin ada hikmahnya.

Arfan berkongsi bahawa ia mengingatkan beliau tentang betapa indahnya untuk memperlahankan rentak kehidupan dan betul-betul menghargai apa jua yang kita ada.

Farhan pula berharap orang ramai memahami betapa serius keadaan sekarang ini dan mematuhi langkah-langkah yang dikuatkuasakan agar kehidupan dapat kembali seperti biasa dengan secepat mungkin.

“Yang penting adalah kita semua menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jangan keluar rumah jika tidak perlu demi keselamatan mereka yang disayangi,” nasihat Syazni.

Mengakhiri wawancara bersama BERITAmediacorp, beliau sempat merakamkan penghargaan kepada kakitangan perubatan barisan hadapan sedang mereka bertungkus-lumus membendung COVID-19.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para wira jagaan kesihataan atas kerja keras mereka sewaktu tempoh ini!”

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan