Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit Olimpik Khas, Siti Nurhayati kejar impian untuk dirinya, ayah

Apabila tembakan pistol dilepaskan menandakan bermulanya perlumbaan, tumpuan Siti Nurhayati Ali Askar Khan hanya pada balapan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit Olimpik Khas, Siti Nurhayati kejar impian untuk dirinya, ayah

Siti Nurhayati Ali Askar Khan. (Gambar-Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 12:41PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 12:48PM

SINGAPURA: Apabila tembakan pistol dilepaskan menandakan bermulanya perlumbaan, tumpuan Siti Nurhayati Ali Askar Khan hanya pada balapan.

Pelumba negara berusia 16 tahun itu berlari tanpa sebarang gangguan, kebimbangan mahupun tekanan.

Siti, seorang remaja kurang daya intelek mempunyai IQ lebih rendah daripada biasa dan mengalami kesulitan pembelajaran, menghadapi cabaran-cabaran tertentu dalam hidupnya, tetapi tidak dalam sukan lari pecut.

Beliau salah seorang daripada 30 anggota kontinjen Team Singapore, yang bakal mewakili Singapura di Sukan Olimpik Khas Dunia dari 14 hingga 21 Mac.

Diadakan di Abu Dhabi, ia merupakan satu acara bagi para atlit kurang daya intelek. Ini adalah kali ke-10 Singapura menyertai temasya sukan tersebut.

Pasukan olahraga Singapura terdiri daripada lapan atlit, dan Siti dianggap paling berpengalaman.

"Bila menang, saya rasa lebih terdorong untuk mara terus," katanya, yang meraih pingat perak dalam acara larian 400 meter di Dubai dua tahun lalu. Beliau juga memperolehi pingat perak dalam kategori T20 acara 400 meter di Beijing tahun lalu.

Siti juga mencatat masa terbaik iaitu 1 minit 12 saat dalam kategori T2 bagi acara 400 meter wanita di Sukan Para Asia tahun lalu.

Siti akan bersaing dalam acara lumba 200 meter, 400 meter dan acara lari berganti-ganti (relay) 4x100 meter di Sukan Olimpik Khas.

Siti berharap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat, mungkin dalam acara lari berganti-ganti.

"Beliau tiada masalah berlari sejauh 100 meter atau 200 meter," kata jurulatihnya, bekas pelari pecut negara Muhamad Hosni. "Beliau sudah bersedia dari segi daya ketahanan, kekuatan dan kelajuan."

MAHU BANGGAKAN S'PURA DEMI AYAH

Mengimbas masa ketika beliau merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah rendah aliran utama, Siti teringat kesukaran yang dihadapinya ketika melakukan kerja rumah dan menduduki peperiksaan.

Ibunya, Yusnah Mohamad, bagaimanapun mendapati anak perempuannya mengalami kesukaran sejak waktu prasekolah.

Ketika Siti di Darjah 3, Cik Yusnah memutuskan untuk memindahkan anaknya ke Grace Orchard School iaitu sebuah sekolah khusus bagi para pelajar berkeperluan khas.

Namun, beliau melakukannya bukan hanya untuk dirinya sendiri. Siti juga mengejar impian bapanya, Ali Askar Khan.

Beberapa dekad lalu, impian Encik Ali untuk menjadi seorang pemain bola sepak negara tidak kesampaian selepas beliau mengalami kecederaan dalam satu perlawanan.

"Pada waktu itu, kami bermain menentang Singapore American School. Saya merupakan seorang pemain penyerang dan salah seorang pemain pasukan lawan cuba merebut bola menyebabkan saya terjatuh," kata Encik Ali, yang pada masa itu pemain pasukan negara, bawah umur 16 tahun.

Insiden itu bagaimanapun bukanlah punca impiannya tidak tercapai - sebaliknya serangan sawan yang dialaminya di padang bola akibat kejadian itu.

Encik Ali tidak berpeluang bermain bola sepak di peringkat tertinggi, namun lebih 30 tahun kemudian, beliau terdengar namanya disebut semasa satu acara di Dubai, apabila Siti bersaing dalam Sukan Para Belia Asia.

"Apabila namanya diumumkan bersama nama saya - Ali Askar Khan, saya berasa sangat gembira," kata Encik Ali. "Apabila beliau muncul di televisyen, saya hampir menangis... Saya berharap beliau dapat mencapai impiannya, tidak seperti saya.

"Beliau anak saya dan beliau meneruskan impian untuk saya. Meskipun ia bukanlah sukan yang sama, namun ia tetap sukan. Itu pernah menjadi impian saya, untuk mewakili Singapura."

Siti kini melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Delta APSN selepas lulus dari Grace Orchard School.

Meskipun terpaksa melawan rasa penat berlatih empat kali seminggu dengan waktu sekolah yang lebih panjang - beliau mula sekolah pada pukul 8.30 pagi dan hanya selesai latihan sekitar 8.00 malam - Siti gigih memburu impiannya.

"Ini adalah impian saya. Sebelum ini, saya pernah mengatakan jika saya inginkan sesuatu, saya akan mencapainya. Ia amat berbaloi."

"Beliau tetapkan sasaran. Beliau mahu mengukir nama," tambah ayahnya.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan