Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit Muslim S'pura tidak dihidangkan daging babi di Sukan SEA: SNOC

Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada Selasa (26 Nov) menyatakan para atlit Muslim Singapura tidak dihidangkan daging babi di Sukan SEA ke-30 dan menyangkal laporan oleh agensi berita South China Morning Post (SCMP).

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit Muslim S'pura tidak dihidangkan daging babi di Sukan SEA: SNOC

(Gambar: Football Association of Singapore)

Diterbitkan : 27 Nov 2019 08:31AM Dikemas Kini : 27 Nov 2019 08:33AM

MANILA: Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada Selasa (26 Nov) menyatakan para atlit Muslim Singapura tidak dihidangkan daging babi di Sukan SEA ke-30 dan menyangkal laporan oleh agensi berita South China Morning Post (SCMP).

Dalam jawapan kepada pertanyaan oleh Mediacorp, jurucakap bagi SNOC berkata laporan SCMP berkaitan 'dakwaan' bahawa para atlit Muslim Singapura dihidangkan daging babi dan bahawa chef de mission Juliana Seow telah bercakap dengan media Filipina adalah tidak benar.

"Juliana tidak bercakap dengan media Filipina dan para atlit Muslim kami tidak dihidangkan daging babi," kata jurucakap itu. "Semua yang disebut dalam laporan SCMP berkaitan dua dakwaan itu tidak benar."

"Kami sudah menulis kepada SCMP dan meminta pembetulan dibuat segera."

Laporan SCMP menyatakan Cik Seow memberitahu media Filipina bahawa mereka terpaksa memesan makanan dari luar untuk para atlit Muslim, yang dihidangkan kikiam - sejenis makanan mengandungi daging babi.

"Ramadan Aguan, pegawai penerangan di Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muslim Filipina (NCFM) berkata penganjur pertandingan tidak mengendahkan peringatan daripada badan itu supaya menghidangkan makanan halal, yang bermakna tiada daging babi dan daging perlu disembelih mengikut cara Islam," lapor rencana SCMP itu.

"Disebabkan kejadian minggu ini chef de mission pasukan Singapura, Juliana Seow menulis surat aduan kepada para penganjur PHISGOC."

Dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin (25 Nov), Cik Seow berkata para atlit dan pegawai Singapura menghadapi "masalah awal" di acara sukan itu namun akan bekerjasama dengan pihak penganjur bagi menangani isu-isu tersebut.

Kenyataan itu tidak menyebut tentang hidangan daging babi kepada para atlit Muslim.

"Apa yang lebih penting adalah untuk bekerjasama dengan pihak penganjur bagi menangani dan menyelesaikan (masalah-masalah awal), supaya para atlit dan pegawai kami dapat bertanding dalam persekitaran yang sesuai," kata Cik Seow.

"Kami menghargai usaha dan layanan baik oleh pihak penganjur dan relawan di Filipina dalam menjaga kami dan melakukan yang terbaik sebagai tuan rumah, dan kami mengalu-alukan Sukan SEA 2019 yang menyeronokkan."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan