Images
  • tokyo olympic
    (Gambar: AP)

Atlit lumba dayung Serbia positif COVID-19 sebaik tiba di Tokyo

TOKYO: Seorang atlit dari pasukan Olimpik Serbia diuji positif COVID-19 selepas tiba di Jepun, kurang tiga minggu sebelum Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung, menurut seorang pegawai tuan rumah pada Ahad (4 Jul).

Seorang anggota daripada pasukan lumba dayung seramai lima anggota didapati dijangkiti virus itu setelah menjalani ujian apabila tiba di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada Sabtu (3 Jul), menurut seorang pegawai di Nanto, sebuah bandar di bahagian tengah Jepun, di mana pasukan itu merancang untuk mengadakan latihan menjelang Sukan Olimpik.

Atlit itu sudahpun diasingkan, sementara lagi empat anggota pasukannya sudah dipindahkan ke sebuah kemudahan berasingan yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang, menurut pegawai itu.

"Anggota pasukan itu dijadual tiba di bandar kami hari ini dan mula menjalani latihan, namun keseluruhan program itu mungkin akan dibatalkan," menurut pegawai itu kepada AFP.

Kes itu dilaporkan sedang pihak penganjur bersiap sedia untuk mengetatkan prosedur pemeriksaan di lapangan terbang setelah dua anggota pasukan Uganda diuji positif selepas tiba di Jepun pada bulan lalu.

Hidemasa Nakamura, pegawai kanan Sukan Olimpik Tokyo 2020, berkata pada minggu lalu bahawa pasukan-pasukan Olimpik harus segera menjalani pengasingan jika mereka tiba di Jepun dengan seseorang yang dijangkiti COVID-19.

Pandangan awam sebahagian besarnya menentang penganjuran Sukan Olimpik pada tahun ini menyusuli kebimbangan berlaku penularan, meskipun tinjauan baru-baru ini mendapati pandangan ramai semakin berubah.

Tiada penyokong dari luar negara dibenarkan dan penyokong dari dalam negeri pula dihadkan kepada seramai 10,000 orang bagi setiap acara.

Sebagai Rangkaian Olimpik Singapura, Mediacorp akan membawakan liputan yang meluas bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Lungsuri sg/tokyo2020 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

- AFP/HA/ha

Top