Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit kedua termuda S’pura Nur Alysha Rizwan 13 tahun tewaskan peserta mapan untuk ke peringkat akhir wakeskate

Atlit luncur air Singapura, Nur Alysha Rizwan, meskipun hanya berusia 13 tahun, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara ‘cable wakeskate’ yang buat julung-julung kalinya dipertandingkan di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit kedua termuda S’pura Nur Alysha Rizwan 13 tahun tewaskan peserta mapan untuk ke peringkat akhir wakeskate

Nur Alysha Rizwan peserta paling muda acara 'cable wakeskate'. (Gambar: Sport Singapore)

CLARK: Bak kata pepatah, kecil-kecil cili api.

Atlit luncur air Singapura, Nur Alysha Rizwan, meskipun hanya berusia 13 tahun, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara ‘cable wakeskate’ yang buat julung-julung kalinya dipertandingkan di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Pelajar Sekolah Menengah Gan Eng Seng itu merupakan atlit yang paling muda dalam kalangan enam pesaing lain bagi acara yang berlangsung di DECA Wake Park semalam (6 Dis).

Dalam peringkat saringan, Alysha yang juga adalah anggota kedua termuda dalam kontinjen Team Singapore selepas atlit sukan kapal layar yang berusia 12 tahun, mendahului ranking dengan kutipan 62.67 mata selepas menambat hati para juri dengan teknik mantap dan aksi-aksi hebat yang bukan mudah untuk dilakukan.

Alysha beraksi di DECA Wake Park di Clark. (Gambar: Sport Singapore)

Peserta tuan rumah Susan Larsson, 29 tahun menyusul di belakang Alysha selepas memperolehi 59.33 mata manakala rakan senegaranya Tynna Rosero, 38 tahun pula melangkah ke peringkat akhir esok (8 Dis) setelah menduduki tempat ketiga dengan 32.00 mata.

“Saya terperanjat selepas menduduki tempat pertama dalam pusingan kelayakan itu. Ini lebih-lebih lagi kerana para pesaing saya tentu sekali mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding saya,” kongsi atlit remaja itu kepada BERITAmediacorp.

PRODIGI

Alysha mula berjinak-jinak dengan sukan cable wakeboard dan wakeskate hanya setahun lalu selepas pertama kali mencubanya di Singapore Wakeboard Park yang terletak di East Coast Park.

“Sejak dari itu saya seperti ketagih dengan sukan ini. Saya memastikan saya berlatih sekurang-kurangnya dua kali seminggu gara-gara mahu betul-betul menguasai sesuatu trick sebelum mempelajari yang baru,” ujar atlit remaja itu.

Sebelum wakeboard dan wakeskate, Alysha memberanikan diri mencuba sukan flowboard dan remaja ini juga pernah mewakili negara sampai ke Cancun, Mexico bagi bertanding dalam Kejohanan Flowboarding Sedunia bagi kategori profesional wanita. Lebih membanggakan lagi, Alysha berjaya membawa pulang pingat perak bagi Singapura daripada kejohanan tersebut.

Walaupun kedua-dua wakeboard dan wakeskate menggunakan papan luncur air, flowboarding pula meluncur atas ombak buatan manakala bagi cable wakeboard dan wakeskate, seseorang itu ditarik oleh kabel yang mengelilingi litar dengan beberapa tanjakan untuk melakukan aksi-aksi hebat.

Berbanding wakeskate, kaki peluncur terikat dengan papan dalam wakeboard. (Gambar: Sport Singapore)

Wakeskate berbeza jika dibandingkan dengan wakeboard di mana kaki peluncur itu tidak terikat bak bermain papan selaju cuma bezanya di atas permukaan air.

Prodigi Singapura itu dipilih untuk mewakili negara dalam dua acara iaitu cable wakeboard dan wakeskate. Namun, beliau hanya akan bertanding dalam cable wakeskate di peringkat akhir acara tersebut esok selepas tersingkir daripada kategori cable wakeboard petang tadi (7 Dis).

“Sejujurnya, saya gementar memikirkan tentang peringkat akhir esok kerana saya pasti para lawan saya yang lebih berpengalaman masih ada beberapa trick yang mereka simpan untuk dipersembahkan di peringkat akhir,” kata Alysha.

Namun, atlit muda itu berikrar akan memberikan yang terbaik dengan memanfaatkan gilirannya sebagai peserta terakhir untuk ‘merisik’ markah yang diraih para pesaing sebelumnya cuba mengatasi mereka dengan aksi-aksi yang berupaya memperolehi lebih banyak mata.

“Matlamat saya adalah untuk menyumbang pingat pertama saya buat tanah air dalam penampilan sulung saya di Sukan SEA ini. Saya hanya mahu membuat persembahan yang terbaik saya mampu,” tambahnya.

EMPAT ATLIT S'PURA DI PERINGKAT AKHIR

Secara keseluruhannya, empat peluncur air negara termasuk Alysha akan bertanding di peringkat akhir bermula 12.00 tengah hari esok.


Md Fadzli Zulkifli, 30 tahun bakal beraksi dalam acara cable wakeskate lelaki manakala Gooi Jia Yi, 20 tahun akan bertanding dalam acara wakeboard wanita. Sementara itu, Clarence Batchelor, 16 tahun pula berpeluang untuk mengharumkan nama negara dalam acara wakeboard lelaki.

Dalam edisi-edisi Sukan SEA sebelum ini, para peluncur wakeboard dan wakeskate ditarik oleh bot tetapi kali ini, para penganjur memperkenalkan format baru menggunakan kabel. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan