Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit e-sukan Fardeen Hussain sudah bersiap sedia pertahan kedudukan di Piala Juara-Juara Asia Timur

Sejak kecil lagi beliau sudah menanam cita-cita untuk mewakili Singapura sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak kecil lagi beliau sudah menanam cita-cita untuk mewakili Singapura sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Impian tersebut akhirnya menjadi kenyataan bagi Fardeen “Fardhino” Hussain, 21 tahun.

Apa yang lebih menarik ialah cita-cita yang sudah lama tersemat di hati itu bukan direalisasikan di padang bola, sebaliknya di skrin komputer!

Enam kali seminggu, sehingga enam jam setiap hari, atlit e-sukan itu akan bertungkus lumus berlatih bagi menajamkan tumpuan dan mengasah kemahiran dalam permainan video bola sepak FIFA.

“Saya mungkin tidak cukup berbakat untuk beraksi di padang bola tetapi saya mendapati bahawa apabila bermain FIFA, saya lebih baik berbanding rakan-rakan saya,” kongsi beliau yang pada usia tujuh tahun, sudah mula berjinak-jinak dengan permainan video berkenaan.

WAKILI S’PURA DI TEMASYA SERANTAU

Pada 2014, pelajar Politeknik Ngee Ann itu memutuskan untuk menguji kebolehannya dalam Kejuaraan FIFA 15 yang dianjurkan di Singapura.

Fardeen berjaya meraih kedudukan antara 10 pemain terbaik dalam penampilan sulungnya dan sejak itu beliau gigih berusaha untuk menyerlahkan lagi bakatnya.

“Selepas pertandingan tersebut, saya menanam hasrat untuk menjadi juara kerana saya menyedari bahawa saya boleh bermain secara kompetitif dan saya berupaya memenangi kejohanan-kejohanan FIFA,” kata beliau.

Selepas tiga tahun berkecimpung dalam bidang e-sukan, atlit bertaraf FIFA itu berjaya dipilih untuk ‘menyarung jersi Singapura’ bagi mewakili negara di Vietnam.

Beliau kemudian diundang untuk menganggotai Team Flash, sebuah pertubuhan e-sukan tanah air, sekaligus ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan barisan pemain handalan FIFA di Asia - termasuk rakyat Singapura Amraan Gani, 24 tahun dan Joseph 'Zalate' Yeo, 25 tahun.

Team Flash di EACC 2018 di Busan, Korea Selatan. (Gambar: Fardeen Hussain/Facebook)

Team Flash di Piala Undangan Asia Tengga di Thailand. (Gambar: Fardeen Hussain/Facebook)

November lalu, trio tersebut menunjukkan taring masing-masing untuk menewaskan 12 pasukan dari 7 negara merata Asia untuk muncul sebagai johan Piala Juara-Juara Asia Timur (EACC) Musim Sejuk 2018 di Busan, Korea Selatan.

Pada Selasa (14 Mei), mereka berangkat ke Shanghai, China pula untuk membuat persiapan bagi EACC Musim Bunga 2019 yang bermula Sabtu ini (18 Mei) hingga 26 Mei.

Selain berpeluang memenangi AS$100,000 ($136,830), para anggota Team Flash juga sedang memburu tempat dalam Piala E-Sukan Sedunia 2019 dengan lapan pemain terbaik bakal melayakkan diri ke kemuncak temasya itu.

“Kami yakin kami ada kemahiran untuk memenangi pertandingan ini tetapi kami tidak boleh terlalu yakin. Sebab itu kami selalu berlatih setiap malam dan juga saling nasihat-menasihati untuk memperbaiki cara permainan kami,” ujar Fardeen, satu-satunya anak Melayu dalam pasukan tersebut.

SOKONGAN MEMBERANGSANGKAN

Apabila ditanya tentang sokongan keluarga, anak bongsu tiga beradik itu akur bahawa pada mulanya mereka kurang memahami kecenderungan beliau terhadap permainan video.

Manakan tidak, Fardeen sudah banyak melaburkan masa dan wang untuk mendalami bidang ini yang bukan saja sering dianggap ‘main-main’ bahkan membazirkan masa.

Namun, lama-kelamaannya, ibu bapa dan kedua-dua kakaknya semakin kagum dengan keupayaan beliau mencipta nama dalam arena e-sukan. Ini lebih-lebih lagi dengan tokokan daripada pelbagai pihak untuk menonjolkan industri tersebut.

“Berbanding tahun lepas, e-sukan telah mendapat lebih banyak sokongan daripada ramai pihak seperti penaja dan syarikat-syarikat yang menganjurkan pertandingan,” kata anggota Team Flash itu.

Sebagai contoh, pada Mac lalu, pasukan tersebut bekerjasama dengan Hab Sukan Singapura untuk menyediakan ruang latihan di OCBC Arena bagi para anggotanya.

Latihan bersama pasukan esukan dari luar negara di OCBC Arena. (Gambar: Team Flash/Facebook)

Latihan bersama pasukan esukan dari luar negara di OCBC Arena. (Gambar: Team Flash/Facebook)

“Sekarang kita boleh datang hujung minggu untuk berlatih di Team House kita dan kita boleh sama-sama berbincang secara fizikal sambil menganalisa cara permainan lawan.

“Dahulu di pusat komputer, apabila kita berlatih, kadang-kadang ada gangguan, tetapi sekarang kita boleh berlatih dengan penuh fokus dan saya rasa ia akan membantu meningkatkan prestasi permainan kami,” kongsi Fardeen.

Bagaimanapun, beliau menaruh harapan agar pencapaian pasukannya akan dapat mengubah tanggapan negatif terhadap e-sukan lebih-lebih lagi kerana ia memerlukan komitmen yang teguh dan pada masa yang sama, turut menjanjikan masa depan yang cerah.

Luah beliau: “Kami berlatih bersungguh-sungguh. Bukan sahaja bermain permainan video. Saya dan rakan-rakan harus menjaga kesihatan kami kerana kita harus fokus dalam pertandingan kita. Dalam game kita harus fokus 100%.

“Sebenarnya saya rasa atlit e-sukan sama seperti atlit sukan tradisional. Kami juga mahu menang untuk mengharumkan nama Singapura.” 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan