Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit 12 jari kaki ini bakal dapat tajaan kasut khas

Seorang atlit dari India, pemenang pingat emas yang mempunyai enam jari di setiap belah kakinya bakal menerima kasut rekaan khas selepas ketua sebuah syarikat tersentuh hati apabila mengetahui kisahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit 12 jari kaki ini bakal dapat tajaan kasut khas

Atlit negara India Swapna Barman (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Sep 2018 11:08PM Dikemas Kini : 03 Sep 2018 11:20PM

NEW DELHI: Seorang atlit dari India, pemenang pingat emas yang mempunyai enam jari di setiap belah kakinya bakal menerima kasut rekaan khas selepas ketua sebuah syarikat tersentuh hati apabila mengetahui kisahnya.

Atlit heptatlon Sukan Asia 2018, Swapna Barman, 21, dalam satu wawancara memberitahu tentang keadaan fizikalnya yang menyebabkan beliau menanggung kesakitan sewaktu bersaing dalam acara larian 800 meter peringkat akhir.

Sebuah syarikat di Chennai tampil untuk membantu Barman memiliki kasut rekaan khas.

“Selepas memenangi pingat emas, baru saya tahu mengenai perbezaan fizikalnya,” ujar Sidhanshu Mani, iaitu pengurus besar syarikat Integral Coach, yang memberi dana kepada latihan atlit, seperti dilaporkan Astro Awani.

Mani berkata, Barman memerlukan empat pasang kasut untuk tujuh acara heptahlon itu.

“Kami sedang berunding dengan Nike. Kami sedang menunggunya untuk pulang ke tanah air supaya kami mendapat ukuran saiznya untuk membuat kasut tersebut,” ujarnya.

Barman berasal dari sebuah keluarga miskin di bandar Jalpaiguri dan pencapaiannya telah mendapat perhatian seluruh India.

Menurut Astro Awani, bapanya pernah bekerja sebagai penarik beca namun kini terlantar akibat serangan angin ahmar. Ibunya, Basana Devi, terpaksa meninggalkan kerja sebagai pemetik daun teh untuk menjaga suaminya itu.

Keluarga tersebut disara oleh anak lelaki mereka yang memperoleh pendapatan sebagai tukang batu.

Astro Awani melaporkan sebuah video yang menunjukkan keluarga Barman gembira menonton kejayaan Swapna di televisyen menjadi sensasi media di India.

Ibunya dilihat segera berlari ke sebuah kuil di luar rumah untuk berterima kasih atas kejayaan anaknya.

Basana Devi memberitahu media tempatan bahawa kos pembedahan jari 'tambahan' anaknya itu terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung keluarganya.

Pemerintah Benggala Barat sebelum ini pernah berjanji akan memberi ganjaran berjumlah 1 juta Rupee (S$19,330) atas kejayaan Barman di temasya sukan tersebut.

Di Jakarta, Barman turut cemerlang dalam acara lompat tinggi, lontar peluru, melontar lembing dengan memperoleh 6,026 mata.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan