Images
  • wayang kulit shoe
    (Gambar: Adidas Singapore)

Asal usul wayang kulit cetus pertikaian susuli video promosi Adidas

SINGAPURA: Gergasi pakaian sukan Adidas memohon maaf kerana mengandaikan wayang kulit berasal dari Malaysia. Ini mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia.

Kesilapan syarikat itu yang mencetuskan semula pertikaian antara kedua-dua negara tentang warisan budaya dan identiti masing-masing berlaku semasa Adidas Singapore melancarkan koleksi kasut baru yang dihasilkan dengan kerjasama para seniman dari merata Asia Tenggara.

Dalam video promosi bagi salah satu kasut yang memaparkan ciri-ciri wayang kulit dan direka oleh seniman dari Malaysia, Jaemy Choong, kapsyen video itu menggesa para penonton supaya "meraikan warisan budaya Malaysia" menerusi kaca mata seniman itu. Video berkenaan turut mendakwa bahawa reka bentuk kasut itu adalah sebagai "penghormatan kepada wayang kulit, yang membentuk sebahagian besar daripada warisan budaya dan identiti Malaysia".

Dakwaan itu menyinggung perasaan para pengguna Internet dari Indonesia yang menegaskan bahawa wayang kulit berasal dari negara mereka. Akaun Instagram Adidas Singapore turut dihujani dengan komen-komen daripada para pengguna Indonesia yang meluahkan rasa tidak puas hati, sekali gus mendorong syarikat itu untuk memohon maaf.

Para pengguna Internet dari Indonesia memang cukup terkenal dengan sikap mereka yang akan bersuara lantang dan cepat bertindak apabila hal-hal kebanggaan negara dipertikaikan. Kontroversi terbaru ini juga hanyalah salah satu daripada pertikaian yang tercetus berhubung warisan budaya.

Baru-baru ini, berlaku pertikaian berhubung asal usul hidangan seperti rendang, lagu rakyat Indonesia, tarian bertopeng dalam kempen pelancongan Malaysia serta seni batik.

Sungguhpun demikian, kedua-dua negara itu secara amnya menjalin hubungan yang baik seperti yang dipaparkan oleh keputusan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob untuk memilih Indonesia sebagai destinasi lawatan sulung ke luar negara selepas menyandang jawatan tersebut.

Meskipun begitu, terdapat tanda-tanda hubungan yang muhibah dalam kalangan hampir 28,000 komen terhadap video koleksi kasut terbaru oleh Adidas Singapore, yang diberi nama "UltraBoost DNA City Pack".

Pada Isnin, Adidas Singapore memohon maaf menerusi Instagram Story, sambil berkata bahawa kesilapan yang berlaku itu "bukan disengajakan".

"Walaupun wayang kulit adalah komponen penting dalam warisan budaya Malaysia, kami seharusnya menekankan dan menyerlahkan asal usulnya dari Indonesia dalam catatan kami," menurut syarikat itu.

Bagi mengelakkan sebarang pertikaian, jenama itu mahupun seniman di sebalik reka bentuk itu tidak berniat untuk merampas seni atau budaya itu dari Indonesia."

Syarikat itu sudahpun memperbetulkan catatan pada video itu: "Berasal dari Indonesia, wayang kulit telah memberi inspirasi kepada kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara."

- Agensi berita/HA/ha

Top