Images
  • soccer (3)

Asah bakat tumpuan sesi bola sepak dengan pemain terhad dek COVID-19

SINGAPURA: Tumpuan para pemain bola sepak muda kini adalah untuk mengasah kemahiran mereka.

Malah bagi satu kumpulan pemain, terdapat seorang jurulatih untuk membantu para pemain memperbaiki teknik masing-masing.

Ia antara perubahan yang berlaku sedang para penggemar bola sepak tempatan kekal aktif meskipun hanya boleh beraksi dengan lima orang saja.

Antara individu yang tetap bermain bola sepak pada masa ini ialah Encik Mariano Ranjan.

Sejak sembilan tahun lalu, Encik Ranjan bermain bola sepak dua kali seminggu - sama ada dalam perlawanan lima, tujuh atau 11 sepasukan.

Namun sejak pandemik COVID-19, beliau hanya boleh beraksi dalam perlawanan bola sepak tiga lawan dua saja.

Alternatifnya, beliau dan rakan-rakannya menyertai latihan sejam setiap masa bersama seorang jurulatih.

Selepas menjalani latihan secara individu, mereka beraksi dua lawan dua.

Pemain kelima juga diperkenalkan untuk menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan.

Beberapa peraturan baru juga diperkenalkan seperti syarat menjaringkan 12 gol dalam masa lima minit.

Setiap minggu sekitar 300 pemain muda hadir di Akademi Bola Sepak ActiveSG.

Dengan adanya had saiz kumpulan, tumpuannya lebih kepada kemahiran individu.

Ini termasuk cara menggelecek bola.

Namun, yang paling terjejas adalah para pengadil yang kini kehilangan sumber pendapatan. 

- CNA/AA/na

Top