Images
  • beijing olympics 2022 protests
    Tunjuk perasaan di luar bangunan konsulat China di LA, Amerika Syarikat pada 3 Nov 2021, menggesa Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 diboikot (Gambar: Frederic J. BROWN/AFP)

AS pertimbang boikot diplomatik Olimpik Beijing, kata Biden

WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang menimbangkan untuk melakukan boikot diplomatik Sukan Olimpik Beijing sebagai satu langkah yang bertujuan membantah rekod hak asasi manusia China, termasuk apa yang Washington katakan sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat minoriti Islam.

Ini disahkan oleh Presiden Joe Biden pada Khamis (18 Nov),

"(Ini) sesuatu yang kami sedang pertimbangkan," kata Presiden Biden ketika ditanya sama ada boikot diplomatik sedang dipertimbangkan ketika beliau duduk bagi satu pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.

Boikot diplomatik bererti bahawa pegawai Amerika Syarikat tidak akan menghadiri acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Februari.

Keputusan Amerika Syarikat untuk tidak menghantar para diplomat akan dilihat sebagai kritikan terhadap Presiden China Xi Jinping hanya selang beberapa hari selepas Presiden Xi dan Presiden Biden berusaha meredakan ketegangan dalam satu sidang puncak maya. Sidang tersebut adalah rundingan meluas pertama antara mereka sejak Presiden Biden memegang jawatan pada Januari.

Para aktivis dan anggota Kongres dari kedua-dua parti menggesa pentadbiran Presiden Biden untuk memboikot acara itu secara diplomatik memandangkan pemerintah Amerika Syarikat menuduh China melakukan pembasmian kaum terhadap kumpulan etnik Muslim di wilayah barat Xinjiang, sesuatu yang dinafikan Beijing.

Jurucakap Rumah Putih Jen Psaki memberitahu satu taklimat rutin pada Khamis bahawa pertimbangan Amerika Syarikat mengenai pemboikotan diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk didorong oleh kebimbangan mengenai amalan hak asasi manusia di wilayah Xinjiang.

Sumber yang rapat dengan pemikiran pentadbiran itu memberitahu Reuters Rumah Putih semakin sebulat suara bahawa para pegawai Amerika Syarikat tidak harus menghadiri temasya Sukan tersebut.

Minggu lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata pihak Washington sedang berbicara dengan negara-negara di seluruh dunia tentang " penyertaan mereka," namun tidak memberi tarikh akhir jelas untuk membuat keputusan.

Sekumpulan senator Amerika Syarikat dari kedua-dua parti pada Oktober mengusulkan pindaan rang undang-undang dasar pertahanan tahunan yang akan melarang Jabatan Negara Amerika Syarikat daripada membelanjakan dana persekutuan untuk "menyokong atau memudahkan" kehadiran kakitangan pemerintah Amerika Syarikat di Sukan tersebut.

Speaker Dewan Rakyat Demokrat Nancy Pelosi juga menggesa boikot diplomatik, sambil mengatakan pemimpin global yang hadir akan kehilangan kuasa moral mereka.

Beberapa penggubal undang-undang Republikan pula menyeru agar Olimpik diboikot bulat-bulat. 

- Reuters/TQ/tq

Top