Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Arab Saudi sedia pukau dunia bola sepak jika menang bida Piala Asia 2027

Arab Saudi bersedia memukau pelawat dan peminat bola sepak ke negara itu semasa Piala Asia 2027 jika negara itu berjaya membida hak sebagai tuan rumah kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi sedia pukau dunia bola sepak jika menang bida Piala Asia 2027

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Dec 2020 09:07PM Dikemas Kini : 14 Dec 2020 09:11PM

KUALA LUMPUR: Arab Saudi bersedia memukau pelawat dan peminat bola sepak ke negara itu semasa Piala Asia 2027 jika negara itu berjaya membida hak sebagai tuan rumah kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) itu.

Duta Arab Saudi di Malaysia, Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan berkata selain infrastruktur sukan dengan lebih 17 stadium disediakan untuk kejohanan itu, negara yang kaya dengan minyak itu turut membangunkan kemudahan berkaitan pelancongan untuk pelawat semasa kejohanan itu.

“Kami mempunyai stadium baru di beberapa wilayah dan juga kawasan pelancongan baru yang bakal memberi kejutan untuk semua orang,” katanya mengenai usaha negara itu menjadi tuan rumah kejohanan yang dimulakan pada 1956.

“Kejohanan itu akan dihoskan di banyak bandar raya termasuk Riyadh, Jeddah dan Dammam,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Dr Mahmoud Hussein menyerahkan dokumen termasuk buku bidaan Arab Saudi bagi fasa terakhir proses bidaan kepada ketua Pejabat Piala Asia (Pertandingan dan Divisyen Acara Bola Sepak AFC), Jinho Yu, di ibu pejabat AFC di Bukit Jalil di sini, hari ini (14 Dis).

Bagaimanapun, Arab Saudi bukan negara tunggal membida hak sebagai tuan rumah edisi ke-19 itu kerana empat lagi negara iaitu India, Iran, Qatar dan Uzbekistan turut mengemukakan bidaan kepada AFC.

“Kami menjuarai kejohanan ini sebanyak tiga kali (1984, 1988 dan 1996), melangkah ke final sebanyak enam kali dan mewakili Asia sebanyak lima kali pada Piala Dunia FIFA. Ini kali pertama kami memohon untuk menganjurkan pertandingan ini.

“Jadi saya melihat kami mempunyai rekod yang baik...peluang terbaik untuk memenangi bidaan ini. Insya-Allah, kami berharap untuk menganjurkan pertandingan ini pada 2027,” katanya.

Tuan rumah Piala Asia dijangka diputuskan pada separuh kedua tahun 2021 oleh 47 negara anggota AFC.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tuan rumah edisi 2019 manakala tuan rumah edisi 2023 China akan menyaksikan buat pertama kali 24 pasukan bersaing berbanding 16 pasukan sebelum ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan