Images
  • arab saudi woman
    (Gambar hiasan: Fayez Nureldine/AFP)

Arab Saudi anjur perlawanan bola sepak khas bagi wanita Teluk pada Mac ini

RIYADH: Buat pertama kali di Arab Saudi, Persekutuan bagi Sukan Masyarakat menganjurkan perlawanan bola sepak pertama khas bagi golongan wanita. Perlawanan itu akan berlangsung dari 1 hingga 6 Mac.

16 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlawanan kalah mati itu. Acara tersebut dinamakan "The Football Unites Us" (Bola Sepak Menyatukan Kita) dan ia bakal diadakan di Bandar Sukan Al-Khobar.

Beberapa kelab bola sepak wanita Arab Saudi, serta kelab dari Amiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Oman akan menyertain perlawanan yang di bawah naugan Putera Saud Bin Naif, amir Wilayah Timur.

Saudi Gazette difahamkan kelab-kelab Saudi yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu termasuk Al-Shuala Al-Sharqiyah, Al-Yamamah, Lourdes, United Eagles, Royals, Jeddah Eagles dan King's Union.

Bercakap kepada Okaz, seorang pengurus besar salah satu syarikat yang khususnya menganjurkan pameran-pameran serta konvensyen, Encik Sanaa Al-Ateeq, berkata bahawa perlawanan itu akan dimulakan dengan satu upacara perasmian. Acara kemuncak dalam upacara tersebut adalah satu persembahan muzik oleh 50 wanita Saudi, bertajuk 'I come here' (Saya ke sini) dan ia akan dipentaskan dengan bantuan pereka fesyen Hanouf Al-Duwaihi.

Acara perasmian akan disusuli dengan dua perlawanan bola sepak. Empat perlawanan akan diadakan setiap hari selepas itu.

Selain bola sepak, acara-acara sukan seperti tenis, bola keranjang dan meja tenis akan diadakan. Program-program muzik juga akan dianjurkan.

Ruang-ruang terbuka akan disediakan bagi kanak-kanak untuk menyertai pelbagai permainan dan acara sukan. Di ruang yang sama, makanan-makanan sihat akan ditawarkan. Semua ini bukan khusus bagi wanita tetapi bagi semua keluarga, tambah Encik Al-Ateeq.

Seorang peserta daripada Kelab Al-Yamamah, yang ditemui Saudi Gazette mengatakan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk ikut bertanding dan mereka akan merebut kejuaraan perlawanan bola sepak pertama wanita pada peringkat Teluk.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top