Images
  • ballon d'or
    (Gambar: AFP)

Anugerah Ballon d'Or tidak disampaikan tahun ini kerana virus korona

PARIS: Anugerah Ballon d'Or tidak akan disampaikan tahun ini kerana keadaan luar biasa yang disebabkan oleh pandemik virus korona, demikian umum penganjurnya France Football pada Isnin (21 Jul).

Ini adalah kali pertama dalam sejarah piala yang dianugerahkan kepada pemain bola sepak lelaki terbaik dunia tidak diberikan sejak pemain England, Stanley Matthews menjadi penerima pertama anugerah itu pada 1956.

"Tiada edisi tahun 2020 kerana ternyata, selepas pertimbangan secara teliti, kesemua syarat tidak dipenuhi," kata penyunting majalah itu, Pascal Ferre.

Penularan COVID-19 menyebabkan kesemua liga bola sepak utama ditutup pada Mac dengan Bundesliga Jerman merupakan yang pertama menyambung semula perlawanan secara tertutup pada Mei lalu.

France Football menyatakan adalah tidak adil untuk memilih pemain bola sepak terbaik di dunia apabila beberapa liga, termasuk Liga 1 Perancis membatalkan musim perlawanan mereka lebih awal.

Encik Ferre juga menyarankan bahawa adalah tidak adil untuk menilai para pemain berdasarkan perlawanan yang dimain tanpa penonton yang hadir.

Pemenang tahun lalu, Lionel Messi juga akan terus memegang takhta sebagai pemain terbaik dunia untuk lagi 12 bulan.

France Football menambah bahawa ia berharap untuk mengadakan sebuah majlis pada 2021, namun bagi tahun ini ia sebaliknya akan mengadakan undian bagi 11 pemain bola sepak lelaki terbaik sepanjang masa.

- AFP/HA/ha

Top