Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Amir Khan Ansari yakin tumpaskan lawan hebat dari M'sia dalam pertarungan ONE Championship

Atlit seni bela diri campuran (MMA) Singapura, Amir Khan Ansari, yakin mampu menumpaskan lawannya dari Malaysia dalam pertarungan pada Jumaat nanti (22 Nov), sekali gus merebut gelaran juara lightweight ONE Championship.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Atlit seni bela diri campuran (MMA) Singapura, Amir Khan Ansari, yakin mampu menumpaskan lawannya dari Malaysia dalam pertarungan pada Jumaat nanti (22 Nov), sekali gus merebut gelaran juara lightweight ONE Championship.

Ini meskipun mengalami dua kekalahan berturut-turut selepas kecundang di tangan veteran Filipina, Eduard Folayang, pada November tahun lalu bagi kejuaraan dunia lightweight ONE Championship.

(Gambar-gambar: ONE Championship)

Kegagalan dan prestasi yang menurun bagaimanapun tidak mematahkan semangat Amir. Beliau memilih untuk menilai kembali prestasinya dan mengatur strategi baru.

Bagi pertarungan Jumaat ini (22 Nov), Amir tidak akan terkejar-kejarkan kemenangan dan lebih menumpu kepada pertarungan.

Amir yakin boleh menang walaupun lawannya kali ini ialah Ev Ting - nama yang cukup menyerlah dalam kategori Lightweight dan digelar petinju 'tahan pukul'.

Amir Khan Ansari bakal bertarung dengan Ev Ting dari M'sia di Stadium Tertutup S'pura. (Gambar: ONE Championship)

Semasa ditanya apakah beliau akan mampu menjana satu lagi keputusan 'knock-out', Amir menjawab beliau yakin boleh menang pertarungan dalam lima atau 10 minit selepas loceng berbunyi.

"Pesaing saya kali ini bagus dan kuat tetapi saya yakin kemahiran saya lebih baik dan saya mampu mengatasinya di gelanggang," kata Amir kepada BERITAmediacorp.

PERJALANAN AMIR SUMBER INSPIRASI RAMAI

Dalam tempoh lima tahun sejak mula bertarung dalam gelanggang ONE Championship, Amir sudah menang 11 daripada 17 pertarungannya.

Atlit berusia 25 tahun ini bahkan memegang rekod 'knock-out', rekod 91 peratus kemenangan sebelum pertarungan berakhir dan hampir merebut takhta juara dunia.

Pernah mengalahkan atlit-atlit hebat - termasuk bekas Juara Dunia Featherweight Honorio "The Rock" Banario, Amir juga tidak sekali-kali membiarkan 'musuh' dalam tubuhnya menjadi penghalang.

Amir sebenarnya mengalami Sindrom Tourette - sejenis gangguan saraf yang menyebabkan matanya berkelip-kelip atau seperti "rasa gatal dalam tubuh yang tidak dapat dikawal".

Masalah yang dihadapinya meninggalkan pengalaman pahit satu ketika dahulu. Bekas pelajar Sekolah Menengah Changkat Changi ini malah pernah menjadi mangsa ejekan.

"Masalah kesihatan saya dahulu membuat saya berasa terpinggir. Ketika saya 14 tahun, saya mencari sesuatu yang boleh saya lakukan dan rasa selesa. Di situlah saya mula muay thai," cerita Amir.

"Jurulatih saya mengajak saya bertanding kerana saya ada bakat. Enam bulan kemudian, saya capai kemenangan. Sejak itu saya ketagih untuk menang dan bertanding."

INGIN ANAK IKUT JEJAK SAMA

MMA menjadi begitu bermakna bagi Amir sehingga beliau ingin memperkenalkan seni bela diri campuran itu kepada seseorang yang istimewa dalam kehidupannya - iaitu Leonel Lion Khan, anak sulungnya. 

(Gambar: @amirkhanmma/Instagram)

Meskipun baru berusia tujuh bulan, Amir ingin memberi pendedahan kepada Leonel pada awal tahun depan. 

"Dia mula merangkak pada usia empat atau lima bulan dan sekarang, dia sudah belajar berjalan. Saya tahu dia akan menyukainya (MMA). Seni bela diri adalah kerjaya saya. Ia sebahagian besar kehidupan saya. Dan saya ingin berkongsi ini dengannya," kata Amir dalam satu video yang dimuat naik ONE Championship. 

Kehadiran Leonel juga sudah merubah kehidupan Amir. Beliau kini mempunyai matlamat hidup lebih jelas dan "berasa sangat bertanggungjawab". 

"Segala apa yang saya lakukan akan menjejasnya. Saya harus membuat pilihan bijak dalam kehidupan saya." 

Amir bakal beraksi dalam gelanggang Stadium Tertutup Singapura dalam Pertarungan One Edge of Greatness, yang bermula 6.30 petang pada 22 Nov. Dia satu-satunya atlit tempatan yang akan bertanding dalam pertandingan itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan