Images
  • soccer (3)
    (Gambar: Reuters) 

Algeria ranapkan peluang Ivory Coast

SUEZ, MESIR: Algeria menewaskan Ivory Coast 4-3 menerusi tendangan penalti di peringkat suku akhir Piala Negara-Negara Afrika pada Khamis (11 Jul) dan bakal bertemu Nigeria di peringkat separuh akhir.

Dalam perlawanan semalam, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan, dengan Sofiane Feghouli menjaringkan gol Algeria pada minit ke-20 sebelum Jonathan Kodjia menyamakan kedudukan pada minit ke-62.

Dalam penentuan penalti, Youcef Belaili gagal menyempurnakan tendangannya dan tendangan kapten pasukan Ivory Coast, Serey Die pula terkena tiang, sekaligus mengakibatkan pasukannya tersingkir.

Sebelum itu, Bounedjah juga gagal menyempurnakan penalti babak kedua dan kelihatan agak kecewa kerana bimbang pasukannya tidak akan dapat melayakkan diri ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak 2010.

Kejayaan Algeria turut mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam kejohanan tersebut selepas berjaya mengatasi Kenya, Senegal, Tanzania dan Guinea sebelum ini.

"Perlawanan ini memang sukar kerana Ivory Coast hebat dan gerakan mereka tersusun dan hanya menunggu kami melakukan kesilapan,” menurut jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.

"Saya berasa risau apabila Youcef Atal keluar padang pada babak pertama akibat cedera bahu. Itu saja detik cemas malam ini.

"Saya rasa kami akan mampu bersaing hingga ke penghujungnya. Pemain sepertinya berhak diberi peluang menentang Nigeria."

Algeria mengekalkan barisan sama ketika menentang Guinea di peringkat 16 pasukan terakhir sekali gus mengesahkan keyakinan ramai yang pasukan itu menjadi pilihan untuk menjulang trofi berprestij itu.

Jurulatih Ivory Coast, Ibrahim Kamara pula merombak barisannya semasa menewaskan Mali 1-0.

Pemain tengah, Ibrahim Sangare dan pemain sayap, Max-Alain Gradel dipilih menggantikan Jean-Philippe Gbamin dan Nicolas Pepe, iaitu penyerang kedua terbaik Ligue 1 Perancis pada musim lalu.

- AFP/NA/na

Top