Images
  • algeria win
    Pasukan Algeria raikan gol tunggal ke atas Senegal dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2019 (Gambar: Reuters)

Algeria julang Piala Negara-Negara Afrika buat kali kedua

KAHIRAH: Algeria menjulang Piala Negara-Negara Afrika buat kali kedua pada Jumaat (19 Jul) apabila gol minit kedua Baghdad Bounedjah memberikan mereka kemenangan 1-0 ke atas Senegal dalam perlawanan akhir.

Bounedjah, yang tendangan penaltinya tersasar dalam perlawanan suku akhir menentang Ivory Coast dan menghabiskan minit-minit terakhir perlawanan itu dalam tangisan selepas diganti, mengejutkan pasukan Singa Teranga dengan tendangan yang terkena badan Salif Sane dan melantun di atas penjaga gawang Alfred Gomis terus ke dalam jaringan.

<<BACA: Algeria ranapkan peluang Ivory Coast
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/sukan/algeria-ranapkan-peluang-ivory-coast/4307442.html>>

Algeria, yang melakukan 32 kesalahan menurut perangkaan rasmi perlawanan, perlu berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis dalam satu perlawanan yang pastinya tidak hebat namun penuh mendebarkan.

Senegal diberi tendangan penalti pada separuh kedua perlawanan akibat bola terkena tangan namun keputusan itu ditarik balik selepas penilaian VAR.

Tiupan wisel terakhir disambut dengan sorakan meriah oleh para penyokong Algeria.
"Perjalanan sungguh mencabar," kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi, yang memantapkan pasukannya selepas satu tempoh pergolakan yang menyaksikan tujuh jurulatih pasukan diambil dalam tempoh tiga tahun.

"Saya sangat, sangat gembira bagi negara, bagi mereka yang sudah lama menantikan kemenangan ini. Ini pertama kali kami menang di luar padang sendiri, sungguh luar biasa."

"Kami dibolosi terlalu awal," kata jurulatih Senegal Aliou Cisse.

"Sepanjang perlawanan kami sepatutnya dapat menyamakan kedudukan. Malam ini, saya ucapkan tahniah kepada para pemain saya. Kami berjuang di sini selama 46 hari. Kami betul-betul menginginkannya, namun nasib tidak menyebelahi kami malam ini." 

- Reuters/TQ/tq

Top