Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Air mata iringi keputusan legenda badminton Lee Chong Wei 'gantung raket'

Jaguh badminton negara Lee Chong Wei hari ini (13 Jun) mengumumkan akan ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Air mata iringi keputusan legenda badminton Lee Chong Wei 'gantung raket'

Lee Chong Wei. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 07:17PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 07:21PM

PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara Lee Chong Wei hari ini (13 Jun) mengumumkan akan ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Pengumuman mengenai persaraannya itu dilakukan dalam satu sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Turut hadir di sidang media itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Menteri Steven Sim dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Encik Mohamad Norza Zakaria.

Di sidang media yang dihadiri media tempatan dan luar negara tersebut, pemain berusia 36 tahun itu dengan nada sebak dan dilihat mengalirkan air mata, berkata ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan kerana beliau sangat sayangkan sukan badminton yang diceburinya sejak berusia 10 tahun.

“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat menyintai sukan ini. Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya. 

“Saya berehat selama sebulan selepas pemeriksaan di Taiwan pada April dan berbincang dengan isteri saya dan keluarga mengenai keputusan ini. Saya juga berbincang dengan Encik Norza dan YB Syed Saddiq, dan memutuskan untuk membuat pengumuman selepas Hari Raya.

“...lebih penting ialah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua media yang sokong saya sepanjang 19 tahun karier saya. Bukan senang saya selalu pakai baju Gemilang Malaysia dan ke beberapa tempat untuk bermain di pelbagai kejohanan. Saya berbangga dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk negara saya," menurut Chong Wei.

CHONG WEI DINASIHATI DOKTOR TERUS BEREHAT

Chong Wei menjelaskan bahawa selepas menjalani pemeriksaan pada April lepas, doktor yang merawat beliau memintanya untuk terus berehat daripada menjalani latihan berat.

Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, semasa edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

Pada September tahun lepas, Chong Wei disahkan menghidap barah hidung peringkat awal dan mendapatkan rawatan di Taiwan.

Masalah kesihatan yang dialami Olahragawan Negara empat kali itu mula menjadi perhatian selepas beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018.

Beliau disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan dan kembali menjalani latihan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada awal Januari tahun ini.

Asosiasi Bulu Tangkis Malaysia (BAM) menerima persaraan Chong Wei pada Khamis (13 Jun) dengan Presidennya Encik Norza Zakaria, menggambarkan Chong Wei sebagai "legenda".

LEGENDA BULU TANGKIS INDONESIA PUJI KEPRIBADIAN CHONG WEI

Malah, Legenda bulu tangkis Indonesia Hariyanto Arbi turut mengucapkan selamat jalan untuk Lee Chong Wei.

“Selamat jalan, keputusan ini memang berat, namun pasti yang terbaik untuk dia,” kata Hariyanto Arbi saat dihubungi Antara di Jakarta, Khamis.

“Dia adalah atlit pekerja keras dan pantang mundur, mempunyai komitmen yang luar biasa,” ujarnya.

Selain itu, Chong Wei juga dianggap Hariyanto sebagai atlit yang sangat baik hati. Beliau tidak segan untuk menghormati seluruh atlit yang ditemuinya ketika dalam pertandingan.

“Dia orang yang sangat baik, rendah hati, bahkan sangat menghormati seluruh atlit yang ditemuinya. Tidak pernah membeza-bezakan,” katanya.

Hariyanto yang mengaku sangat terkesan terhadap keperibadian Chong Wei mendoakan agar beliau selalu berbahagia bersama keluarga meskipun harus menggantung impiannya dalam dunia badminton.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan