Images
  • sean tan
    Petikan skrin video YouTube/WWE.

Ahli gusti S'pura Sean Tan menang perlawanan sulung WWE

SINGAPURA: Sean Tan, rakyat Singapura pertama untuk menyertai World Wrestling Entertainment (WWE), membuat penampilan sulungnya pada Selasa (21 Sep).

Namun, dia tidak sedikitpun menunjukkan rasa gementar dan dalam kurang satu minit, berjaya mengatasi lawannya, Trey Baxter dalam perlawanan di program NXT WWE.

Memakai kot tanpa lengan berwarna merah dan emas dengan penutup kepala dan pelitup bandana emas, Tan yang dikenali dengan nama samaran Dante Chen, memasuki gelanggang diiringi lagu tema yang penuh semangat.

"Selamat datang Dante Chen - kami mempunyai rancangan besar untuk anda," kata pengulas acara.

Para netizen yang menyaksikan video perlawanan itu di YouTube mengirimkan komen-komen positif tentang persembahan Tan dengan sesetengahnya "terkejut" mendengar nama Singapura disebut sewaktu Tan memasuki gelanggang.

Tan, 25 tahun adalah dalam kalangan kohort dari Asia yang melaporkan diri bagi latihan di Pusat Persembahan WWE di Orlando, Florida awal tahun ini.

Tan sebelum ini membuat persembahan sebagai Trexxus di Singapura dan mula bergusti pada Februari 2012.

Bekas Juara Ahli Gusti Profesional Singapura (SPW) Asia Tenggara itu menyertai ujibakat WWE di Shanghai pada 2019 bersama ahli gusti lain, Andruew Tang dan Alexis Lee.

- CNA/SM/sm

Top