Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

AGC kaji semula dapatan siasatan dakwaan salah guna dana libatkan FAS, kelab bola sepak

AGC kaji semula dapatan siasatan dakwaan salah guna dana libatkan FAS, kelab bola sepak.

Anggaran Waktu Membaca:
AGC kaji semula dapatan siasatan dakwaan salah guna dana libatkan FAS, kelab bola sepak

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 06 Apr 2021 12:43PM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 12:46PM

SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji semula dapatan siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) ke atas dakwaan salah guna dana yang menyebabkan polis menjalankan serbuan ke atas kelab-kelab bola sepak tempatan hampir empat tahun lalu.

Dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Sylvia Lim pada Isnin (5 Apr), Menteri Ehwal Dalam Negara K Shanmugam berkata lebih daripada itu, "tidak wajar untuk mengulas lanjut buat masa ini".

Cik Lim telah bertanya kepada Encik Shanmugam tentang status dan hasil siasatan polis ke atas laporan SportSG - iaitu badan tadbir urus sukan tempatan - dalam bulan April 2017 mengenai dakwaan penyalahgunaan dana yang menyebabkan polis menjalankan serbuan ke atas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan tiga kelab bola sepak tempatan pada waktu itu.

Mediacorp pada waktu itu melaporkan bahawa SportSG membuat laporan polis terhadap Kelab Bola Sepak Tiong Bahru yang disyaki menyalahgunakan dana kelab serta percubaan yang dipercayai dilakukan seorang pegawai kanan kelab untuk menghalang penyelesaian audit ke atas beberapa bekas kelab Liga S.

Menurut SportSG pada waktu itu ia menerima maklumat yang mendakwa seorang pegawai kanan Tiong Bahru FC, dengan alasan salah, menghasut sebuah lagi kelab supaya melengahkan atau menghalang audit diselesaikan sehingga selepas pemilihan FAS pada tahun itu selesai.

SportSg juga menyatakan pada waktu itu bahawa ia menerima maklumat yang membangkitkan "persoalan-persoalan serius" tentang derma S$500,000 oleh Tiong Bahru FC kepada Persekutuan Bola Sepak Asean.

Bekas presiden FAS dan bekas Anggota Parlimen Zainudin Nordin, Setiausaha Agung FAS Winston Lee, Pengerusi Hougang United dan Tiong Bahru FC Bill Ng dan isterinya Bonnie Wong diberkas pada waktu itu.

Awal daripada ini pada bulan Februari, Ketua Pembangkang Pritam Singh meminta Pemerintah supaya memberikan perkembangan terkini tentang siasatan kes rasuah melibatkan FAS serta Keppel Offshore and Marine semasa permulaan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen.

"Saya faham bahawa siasatan akan mengambil masa untuk diselesaikan. Namun memandangkan profil dua kes (Keppel O&M dan FAS) khususnya, melibatkan orang-orang berkedudukan, terdapat kepentingan awam mengapa siasatan ini belum lagi ditutup," kata Encik Singh.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Indranee Rajah memberikan kemas kini tentang siasatan ke atas Keppel.

Beliau meminta maaf kerana tidak dapat memberi jawapan mengenai kes FAS kerana Encik Singh, semasa memberi gambaran tentang soalan yang ingin ditanya mengenai rasuah sebelum sidang parlimen, hanya menyatakan kes Keppel.

"Saya minta maaf saya tidak mempunyai maklumat tentang FAS. Mungkin Encik Singh boleh memfailkan soalan Parlimen mengenainya." 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan