Images
  • harimau malaya supporters
    AirAsia ambil inisiatif semarakkan suasana final kedua Piala AFF Suzuki dengan membawa penyokong Harimau Malaya ke Hanoi. (Gambar fail: mysemuanyabola/Twitter)

AFF akan siasat jumlah penonton melebihi kapasiti Stadium Bukit Jalil

HANOI: Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung jumlah keseluruhan penyokong yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam perlawanan akhir pertama antara Malaysia dengan Vietnam, pada 11 Disember lepas, yang dikatakan melebihi kapasiti stadium berkenaan.

Setiausaha Agung AFF Azzuddin Ahmad berkata selepas berakhirnya perlawanan final kedua esok di Hanoi, serta kembalinya beliau ke Kuala Lumpur, satu penyiasatan secara menyeluruh akan dilakukan.

“AFF akan berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapat maklumat terperinci bagaimana jumlah penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di SNBJ yang dilihat melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya.

“Buat masa ini pihak AFF ingin mencari punca apa yang sebenarnya yang berlaku dahulu sebelum membuat komen yang selanjutnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sebelum mesyuarat pengurus pasukan di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), di Hanoi hari ini (14 Dis).

Menurut laman sesawang rasmi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), SNBJ boleh menampung seramai 85,000 penonton dalam satu masa manakala pada malam perlawanan akhir berkenaan, jumlah rasmi penonton yang diumumkan di stadium ialah 88,482 penonton.

Namun, lebih parah, berdasarkan laporan media tempatan, pengiraan mata kasar yang berada di dalam stadium berkenaan pada malam itu dikatakan melebihi 100,000 penonton.

Ia sesuatu perkara serius yang diperlu diperhalusi oleh FAM pada masa akan datang supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku pada stadium “keramat” skuad Harimau Malaya itu.

Dalam pada itu, dalam perkembangan lain, Azzuddin berkata VFF mengambil inisiatif sendiri dengan memperhebat langkah-langkah keselamatan dengan lebih komprehensif untuk penyokong kedua-dua pasukan yang datang ke stadium My Dinh untuk aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, esok.

“Pihak FAM juga menekankan faktor keselamatan bagi penyokong Malaysia yang hadir di Hanoi bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Saya percaya pihak Vietnam juga mengambil langkah keselamatan yang menyeluruh, di mana semua agensi keselamatan negara itu akan terlibat mengawal kelansungan perlawanan itu nanti,” katanya.

- BERNAMA/TQ/tq

Top