Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

AFC umum tarikh baru Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan tarikh baru Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac dan Jun sebelum digantung menyusuli pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
AFC umum tarikh baru Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Jun 2020 09:24AM Dikemas Kini : 07 Jun 2020 09:34AM

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan tarikh baru Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac dan Jun sebelum digantung menyusuli pandemik COVID-19.

Selepas berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), AFC dalam kenyataannya turut mendedahkan bahawa baki perlawanan bagi pusingan kedua kelayakan bersama ini dijadualkan pada Oktober dan November.

Menurut AFC, perlawanan 7 dan 8 masing-masing akan diadakan pada 8 dan 13 Oktober, manakala hari perlawanan 9 dan 10 dijadualkan pada 12 dan 17 Nov bagi memastikan pusingan kedua kelayakan bersama itu selesai pada November.

Ia juga bagi memastikan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 (Asia) dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia China 2023 dimulakan pada Mac 2021, tarikh perlawanan yang ditetapkan dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.

“AFC akan terus memantau situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai, peminat dan pihak berkepentingan selain akan memaklumkan semua pihak jika ada keperluan semakan semula jadual perlawanan susulan kesan pandemik COVID-19,” menurut AFC.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan menyambung semula aksi kelayakan dalam Kumpulan G menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 8 Okt, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Malaysia menduduki tempat kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (6 mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. 

Sumber : Bernama/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan