Images
  • marathon file
    Gambar fail larian Maraton Standard Chartered Singapura pada 2016. 

Acara sukan dengan ramai peserta tapi dihadkan sehingga 250 peserta kini dibenarkan

SINGAPURA: Acara-acara sukan dengan ramai peserta kini dibenarkan, dengan panduan baru dikeluarkan oleh Sport Singapore (SportSG) pada Selasa (6 April) yang membenarkan sehingga 250 peserta dibahagikan kepada sehingga 50 orang dalam setiap kumpulan.

Acara larian dan renang secara beramai-ramai, acara berbasikal dan triatlon adalah antara contoh-contoh yang biasanya tergolong dalam kategori ini.

Dalam makluman yang dikemas kini mengenai penganjuran acara sukan yang dirintis semasa Fasa 3 pembukaan semula Singapura, SportSG menyatakan bahawa sesi-sesi berbeza harus dipisahkan mengikut masa bagi mengelakkan terlalu ramai peserta berkumpul di sesebuah lokasi.

Acara-acara sukan dengan ramai peserta masih belum dibenarkan dan buat masa ini tidak boleh melebihi 250 peserta. Para penganjur juga tidak dibenarkan menjemput penonton dan langkah-langkah harus dilaksanakan bagi "mengelakkan penonton berkumpul secara spontan untuk acara sedemikian", tambah SportSG.

PERTANDINGAN DAN KEJOHANAN

SportSG juga mengumumkan pada Selasa satu lagi kategori acara sukan yang sedang dirintis - pertandingan dan kejohanan sukan tanpa penonton. Ia merujuk kepada acara-acara yang melibatkan perlumbaan mengikut kepantasan masa atau pertandingan satu lawan satu di mana mungkin terdapat banyak perlawanan atau pusingan kelayakan.

Acara-acara yang diluluskan tidak boleh melebihi 50 orang dalam setiap sesi di sesebuah kemudahan, dengan sesi yang berbeza "dipisahkan dengan secukupnya dalam masa sehari atau beberapa hari" untuk mengelakkan kesesakan.

Setiap perlawanan dihadkan kepada lapan orang, termasuk pengadil yang perlu berada di padang atau gelanggang. Sekiranya terdapat banyak perlawanan, kontak rapat tidak boleh melebihi 50 orang sehari bagi setiap peserta.

ACARA PENONTON SECARA LANGSUNG

Seperti yang diumumkan oleh jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 pada bulan lalu, acara -acara sukan dengan penonton secara langsung juga dibenarkan.

Acara-acara seperti ini boleh menampung sehingga 750 penonton dengan ujian pra-acara dilaksanakan atau sehingga 250 penonton tanpa sebarang ujian pra-acara.

Menurut garis panduan terkini, para penonton perlu dibahagikan kepada zon-zon berbeza sehingga 50 orang dalam setiap zon, namun pihak penganjur boleh membuat permohonan tanpa zon "jika mereka berupaya memastikan semua langkah pengurusan selamat dipatuhi".

PENGANJUR PERLU MOHON 30 HARI SEBELUM ACARA

"Sebagai sebahagian daripada ujian perintis ini, semua acara sukan yang melibatkan lebih daripada 50 orang (termasuk peserta, penonton, pegawai, kakitangan acara dan sokongan) perlu mendapat kelulusan Sport Singapore sebelum langkah-langkah itu boleh dilaksanakan," menurut agensi itu.

Pihak penganjur mesti menyerahkan permohonan mereka sekurang-kurangnya 30 hari sebelum acara bermula "untuk memberi masa bagi menjalankan penilaian dan mengadakan perbincangan", menurut SportSG, sambil menambah bahawa mereka dinasihatkan supaya tidak memberitahu orang ramai mengenai acara mereka selagi ia belum diluluskan. 

- CNA/TQ/tq

Top