Images
  • Abdullah (2)
    (Gambar-gambar: Abdullah Ja'afar)

Abdullah Ja’afar - ‘Atok sado’ 62 tahun menang pingat perak dalam Kejohanan Sukan Bina Badan Dunia

SINGAPURA: Yang biasa disebut-sebut adalah ‘abang sado’ - orangnya muda, bertubuh ketak-ketak. Apakah pula definisi bagi ‘atok sado’? Jarang sekali didengar bukan?

Baru-baru ini, seorang ‘atok sado’ rakyat Singapura berjaya menduduki tempat kedua dan meraih pingat perak, menewaskan lagi empat pesaingnya dalam Kejohanan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Dunia ke-10, yang diadakan di Chiang Mai Thailand antara 11 dengan 17 Disember lalu.

Encik Abdullah Ja’afar, 62 tahun, menyertai kategori Master bagi 60 tahun ke atas dalam kejohanan tersebut. Walaupun tidak dapat mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya tahun lalu di Mongolia, beliau tetap bersyukur.

“Nampak macam senang, tapi bila kita dah ‘posing’ memang rasa macam nak semput. Tenaga yang digunakan untuk keluarkan otot memang mencabar. Lagi-lagi kalau ada pesaing yang mencabar,” kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.


Encik Abdullah adalah antara empat peserta Singapura yang dihantar menyertai kejohanan itu. Seorang lagi peserta lelaki, Shaifulhaq Ahmad Ishak, berjaya memenangi pingat gangsa bagi kategori 75 kilogram. Sementara dua peserta wanita Singapura, Madeleine Png dan Farah Bee Ismail Dawood, gagal mara ke pusingan akhir.

MULA SERTAI KEJOHANAN BINA BADAN PADA USIA 53 TAHUN

Meskipun usia sudah menginjak senja, Encik Abdullah tidak melihatnya sebagai hambatan untuk meneruskan minat dalam sukan bina badan. Malah, beliau hanya mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sekitar sembilan tahun lalu, iaitu pada usia 53 tahun dan secara serius menyertai kejohanan sejak kira-kira enam tahun lalu.

Sebelum ini Encik Abdullah pernah dua kali menjuarai Kejohanan Dunia dan sekali semasa di Kejohanan Asia.

Encik Abdullah mendedahkan, proses ‘mencantikkan’ badan itu memakan masa yang lama dan memerlukan disiplin yang tinggi. Setiap kali beliau ingin menyertai satu-satu kejohanan, tempoh ideal untuk berlatih secukupnya adalah enam bulan.

“Dalam enam bulan, tiga bulan pertama saya latih badan kasi besar. Makan tak henti. Tiga bulan seterusnya, makan tak henti tetapi kurangkan kalori dari segi karbohidrat. Makan sayur-sayuran dan protein sahaja. Seminggu sebelum pertandingan, saya makan semula karbohidrat,” kongsi beliau.


Encik Abdullah (kiri). (Gambar: Persekutuan Sukan Bina Badan dan Jasmani Dunia Singapura)

Namun, bagi kejohanan pada minggu lalu, Encik Abdullah berkata beliau tidak berpeluang berlatih secukupnya disebabkan kecederaan pada bahagian belakang badannya. Beliau bertekad untuk mencuba sekali lagi pada kejohanan akan datang.

“Disiplin saya adalah untuk tidak berputus asa sehingga saya mencuba sesuatu. Saya rasa ini seperti saya mencabar diri saya. Saya tahu saya semakin lama semakin tua. Sukan bina badan ini memberikan saya satu kepuasan untuk menunjukkan yang saya masih kuat angkat besi. Allah masih memberi saya kekuatan. Ini macam satu kurnia bagi saya,” ujar bapa dua orang anak itu.

DAH TUA BINA BADAN? - ABDULLAH TAK KISAH ‘CAKAP-CAKAP ORANG’

Sekalipun demikian, faktor usianya juga kadangkala menjadi ‘cakap-cakap orang’ apabila mereka mengetahui tentang minatnya itu.

“Saya ada dengar juga tapi saya tak kisahlah kalau orang cakap saya ini sudah tua nak angkat berat, semacam satu kutukan kepada saya. Bila saya dengar, saya tak melawanlah. Pada saya itu satu cabaran. Saya sedar tapi saya akan teruskan. Saya rasa mereka cemburu,” seloroh beliau.


Encik Abdullah bersama dua anaknya. 

Apabila ditanya sama ada beliau berasa tercabar apabila melihat peserta-peserta lain yang lebih muda dalam kejohanan bina badan, ini jawabnya: “Memang tercabar!”

“Tapi... di belakang tabir sebelum bermulanya pertandingan, yang muda-muda ramai. Badan mereka juga lebih mantap. Tapi bila mereka nampak saya, mereka datang dan beri seolah-olah satu penghormatan ‘Saya tabik awak, walau dah berusia lebih 60 masih mantap’.

“Ada juga yang berkata ‘bila saya dah berusia 60 tahun saya mahu jadi seperti awak’. Ini menjadi satu motivasilah,” katanya sambil tertawa.


ANGAN-ANGAN MAHU BUKA GIM SENDIRI

Selepas kejohanan terbaru itu, Encik Abdullah kini menimbangkan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Dengan kemahiran yang beliau ada, Encik Abdullah yang buat masa ini bertugas sebagai seorang Pengarah Kreatif, tidak menolak kemungkinan membantu individu-individu yang terperangkap dalam lingkaran dadah menerusi program kecerdasan (fitness).

“Adik saya baru menyarankan agar saya mengadakan program pemulihan berbentuk kecerdasan bagi penghuni DRC. Bila badan kita cerdas, mentaliti kita akan tukar. Kita akan fikir apa yang harus kita buat setiap hari.

“Insha Allah, mungkin ini satu hikmah untuk saya fikirkan apakah langkah seterusnya,” kata Encik Abdullah yang juga menyimpan hasrat membuka gim (gym) sendiri satu hari nanti.


SHAIFULHAQ DEDIKASI PINGAT KEEMPAT KEPADA ISTERI, ANAK

Seorang lagi peserta Singapura, Shaifulhaq Ahmad Ishak, menyertai kategori lelaki dengan berat 75 kilogram. Beliau memenangi pingat gangsa.

Shaifulhaq menewaskan lagi sembilan atlit lain dalam persaingan yang begitu sengit. Beliau terus bertahan sehingga ke peringkat akhir dan diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Ini adalah piala keempat yang sudah berada dalam genggamannya sejauh ini. Ia didedikasikan kepada isteri dan anak tercinta yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan serta menemani beliau ke semua pertandingan yang disertainya.

Lebih istimewa lagi, Encik Shaifulhaq dan isterinya, turut meraikan hari lahir dan ulangtahun perkahwinan mereka pada hari pertandingan itu.

“Isteri dan anak lelaki saya adalah inspirasi saya. Setiap kali saya bertanding dan apa pun cabaran yang saya harungi, mereka sentiasa ada bersama saya memberikan dorongan dan semangat,” kata Encik Shaifulhaq, yang rekod pencapaiannya bukan calang-calang.

Tahun ini sahaja, beliau pernah menjuarai dua kejohanan dalam tempoh tiga bulan. Pada bulan Julai lalu, Encik Shaifulhaq memenangi kategori 80 kilogram dalam Kejohanan Sukan Bina Badan dan Susuk Tubuh Asia Tenggara ke-15 di Kemboja. Selain itu beliau turut meraih gelaran ‘Mr Southeast Asia’.

Bulan Oktober lalu pula, Encik Shaifulhaq meraih gelaran ‘Mr Asia’ bagi kategori 75 kilogram dalam Kejohanan Sukan Bina Badan dan Jasmani Asia ke-52, di India.

Dua lagi peserta wanita - Cik Madeleine dan Cik Farah walaupun gagal mara ke pusingan akhir enggan berputus asa dan merancang untuk mencuba lagi pada tahun depan.

Seramai 500 atlit lelaki dan wanita dari 50 negara bertanding dana 42 kategori dalam kejohanan tersebut. Kejohanan Sukan Bina Badan dan Jasmani Sedunia ke-11 akan diadakan di Seoul, Korea Selatan pada tahun depan.

- BERITAmediacorp/nk

Top