Images
  • soccer (2)
    (Gambar: BERITAmediacorp)

9 pemain Melayu S'pura ini ke England bagi Piala Dunia 'Walking Football'

SINGAPURA: Sembilan pemain bola sepak Melayu Singapura berlepas ke England hari ini (29 Mei) bagi merebut Piala Dunia 'Walking Football' yang berlangsung pada 1 dan 2 Jun.

Disertai 15 buah negara dari serata dunia, kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Berjalan itu dianjurkan buat julung-julung kalinya.

Pasukan Singapura yang lebih dikenali sebagai Walking Football4Health itu berangkat dari Singapura hari ini (29 Mei).

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat, turun padang bertemu dengan mereka di Lapangan Terbang Changi untuk mengucapkan selamat jalan dan memberi perangsang.

"Saya harapkan mereka berjaya dan saya juga menyeru pemain-pemain, umpamanya, penyerang-penyerang itu kalau boleh juga mendapat ‘golden boot’ (but emas), jaringkan gol sebanyak boleh di London nanti," luah beliau penuh harapan buat para pemain itu yang rata-rata berusia 50 tahun ke atas.

PUASA PUN PUASA, LATIH PUN LATIH


Kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Berjalan itu kebetulan berlangsung dalam bulan Ramadan.

Namun demikian, para pemain bola sepak berjalan itu tetap gigih berlatih dan tetap juga berpuasa.

Manakan tidak, mereka perlu memastikan persiapan yang sebaik mungkin kerana perlu menghadapi pasukan dari negara-negara gergasi bola sepak seperti England dan Itali.

"Di London, Walking Football ini mereka sudah ada liga. Jadi kita di sini baru bermula. Jadi peluang kita itu mungkin kita akan cuba.

"Ini sekarang kita tengah belajar strategi, macam mana strategi, peraturan dia dan tengok macam mana kita boleh tingkatkan pengetahuan kita di sana," kata Encik Shukor Abdul Lihin, 59 tahun, salah seorang anggota pasukan bola sepak berjalan ini.

"Dengan latihan yang dibuat dengan bersungguh-sungguh di bulan puasa ini, saya harap mereka dapat bermain dengan baik sekali supaya membuat kita warga Singapura agak bangga dengan pencapaian mereka nanti di England," luah Dr Dee Dee Mahmood, yang merupakan Pengarah Persekutuan Bola Sepak Berjalan bagi rantau Asia.

Beliau yang juga seorang pakar senaman, akan melakukan satu kajian saintifik yang pertama kali dijalankan tentang keberkesanan bola sepak berjalan untuk kesihatan.

BERUSIA 71 TAHUN - PEMAIN BOLA SEPAK S'PURA


Encik Hamdi Bakri. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pemain tertua pasukan Singapura ini ialah Encik Hamdi Bakri yang berusia 71 tahun.

Jelas menunjukkan bahawa sukan yang semakin berkembang di dunia ini membuka ruang kepada golongan warga emas yang masih lagi sihat dan cergas.

Peluang dan keistimewaan mewakili negara di peringkat antarabangsa dan membuktikan kecergasannya itu disifatkan sebagai 'lailatul qadar' oleh Encik Hamdi.

"Ini lagi kata orang satu hadiah Lailatul Qadar bagi kita semua pasal 10 hari yang terakhir kan Ramadan kita di luar negeri. Inilah dia yang dikatakan Lailatul Qadar insya-Allah. Alhamdulillah kita dapat bersyukur," kongsi Encik Hamdi Bakri yang sudah 2 tahun menganggotai pasukan bola sepak berjalan ini.

Mengulas tentang pemain tertua pasukan ini, Encik Saktiandi menambah: "Jadi, ini menunjukkan bahawa tidak kira umur, apa yang kita perlu adalah minat dan keinginan untuk bermain 'walking football' untuk mempertingkatkan kesihatan diri."

Perlawanan pertama mereka bersama pasukan England akan berlangsung pada hari Ahad (2 Jun), jam 6.00 petang waktu tempatan London.

Anda boleh mengikuti siaran langsung perlawanan tersebut menerusi Facebook Live akaun Facebook Dee Dee Mahmood.

Pasukan Singapura itu dijadual pulang ke tanah air sehari sebelum Aidilfitri. 

- BERITAmediacorp/na

Top