Images
  • msia olympic council
    (Gambar: BERNAMA)

8 negara tolak cadangan tangguh Sukan SEA ke tahun depan

KUALA LUMPUR: Lapan negara termasuk Malaysia menolak cadangan penganjur Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam untuk menangguhkan temasya dwitahunan itu ke Mei atau Jun tahun depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohamad Norza Zakaria berkata penolakan cadangan itu bagi memberi ruang kepada penganjur untuk mengemukakan tawaran baru yang boleh memuaskan hati semua negara bertanding dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Lapan negara menolak cadangan itu termasuk Malaysia, dua negara termasuk Vietnam menyokongnya manakala Laos tidak membuat keputusan,” katanya kepada Bernama pada Rabu (9 Jun).

Mohamad Norza berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya semalam.

Beliau berkata situasi COVID-19 yang melanda dunia ketika ini merupakan alasan dikemukakan Vietnam untuk menangguhkan Sukan SEA ke tahun depan.

Pada Isnin lalu (7 Jun), Bernama melaporkan Mohamad Norza tidak bersetuju dengan cadangan penangguhan itu memandangkan atlit negara bakal mengharungi kalendar sukan yang padat seperti penyertaan di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4-20 Feb, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 Sep).

Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dijadualkan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis. Vietnam menyenaraikan 520 acara daripada 40 jenis sukan untuk edisi tahun ini.

Ini merupakan kali kedua Vietnam menganjurkan Sukan SEA selepas kali pertama pada 2003. 

- BERNAMA/HA/ha

Top