Images
  • afc
    (Gambar: Bernama)

7 pemain diuji positif COVID-19 jelang Liga Juara-Juara AFC di Doha

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa tujuh peserta dari wilayah Barat kejuaraan Liga Juara-Juara AFC musim ini diuji positif COVID-19 sejauh ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat malam semalam (12 Sep), AFC menyatakan mereka diuji positif oleh pihak berkuasa perubatan Qatar sebaik tiba bagi perlawanan peringkat berkumpulan di Doha.

Ketujuh-tujuh individu itu melibatkan lima pemain dan seorang anggota kumpulan pengurusan Kelab Al Hilal dari Arab Saudi dan seorang pemain kelab Al Duhail dari Qatar.

"Semua rawatan perubatan dan sokongan sewajarnya diberikan kepada kedua-dua pasukan dan mereka yang diuji positif kini di bawah pemantauan perubatan dalam sekitaran kuarantin seperti yang diperlukan oleh langkah-langkah keselamatan dan protokol COVID-19 yang ditetapkan bagi perlawanan itu," demikian menurut AFC.

Setelah ditangguh selama beberapa bulan dek pandemik COVID-19, perlawanan bola sepak itu dijadual disambung semula pada Isnin (14 Sep) di mana AFC menyatakan sebelum ini bahawa ia akan diadakan di bawah "peraturan kesihatan yang ketat bagi melindungi pemain dan pegawai daripada pandemik".

Perlawanan wilayah Timur, yang diadakan di Malaysia, dijadual berlangsung dari 15 Nov hingga 13 Dis, diikuti pula dengan pusingan akhir wilayah Barat pada 19 Dis bagi menentukan pasukan wakil dari Asia ke Piala Dunia FIFA.

Pada Khamis (10 Sep), AFC mengumumkan pembatalan perlawanan kelab peringkat kedua iaitu Piala AFC, Piala Perpaduan AFC dan Kejohanan Kelab Futsal AFC UAE 2020, sementara Kejohanan AFC Bawah 16 tahun dan AFC bawah 19 tahun yang dijadual berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan ditangguh hingga awal 2021.

- BERNAMA/HA/ha

Top