Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

5 lagi pemain sertai skuad sepak takraw wanita kebangsaan; pasukan kini lengkap!

Pasukan sepak takraw wanita kebangsaan Singapura kini sudah lengkap setelah lagi lima pemain wanita menyertainya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan sepak takraw wanita kebangsaan Singapura kini sudah lengkap setelah lagi lima pemain wanita menyertainya.

Mereka dipilih menerusi satu pertandingan regu wanita - iaitu yang pertama seumpamanya dianjurkan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), untuk mencari bakat nasional.

Pasukan kebangsaan wanita sebelum ini ditubuhkan lebih tiga bulan lalu dengan hanya sembilan pemain berusia 15 hingga 23 tahun.

Namun ia belum lagi lengkap dan kekurangan tiga pemain untuk dianggap sebagai satu pasukan penuh.

Lantaran itulah, PERSES buat julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan regu wanita Ahad lalu (28 ac) untuk mengisi kekosongan tersebut.

Pertandingan itu disertai 11 regu dengan lebih 40 pemain. Selepas lebih empat jam bertarung, pasukan Woodlands CSC 'B' dinobat juara selepas mengalahkan Woodlands CSC 'A'.

Tempat ketiga pula jatuh ke tangan pasukan Sri Wanders.

Lebih daripada hasil pertandingan, PERSES mengambil kesempatan peluang itu untuk menyaring dan meneliti bakat-bakat tersebut untuk misi lebih besar - iaitu menyarung jersi kebangsaan.

Penolong Jurulatih Skuad Sepak Takraw Wanita Singapura, Mohd Fahmi Mohamed berkata: "Dari segi pemilihan pemain baru untuk disertai dalam pasukan nasional, banyak pemain sudah ada kemahiran. Apa yang ingin kita ketengahkan adalah kawalan bola asas, cara timbang bola, itu yang pertama kita akan lihat.

"Proses untuk pemain masuk dalam pasukan nasional agak mencabar. Kita juga akan melihat komitmen mereka semasa latihan."

Melihat segala kemahiran dan kebolehan yang ditonjolkan para pemain sewaktu pertandingan itu, para jurulatih pasukan wanita kebangsaan memutuskan untuk memilih lima pemain bagi menyertai pasukan negara.

PASUKAN WANITA NEGARA KINI LENGKAP DENGAN 14 PEMAIN

Bagi Ros Ellyia Natasha Abdullah, 20 tahun, dia sememangnya tidak kekok dengan sukan itu kerana sudah mula masuk gelanggang takraw sejak dari sekolah rendah lagi.

Ellyia, yang kini bermain bersama kelab Marsiling CSC, meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bermain sepak takraw bersama rakan-rakannya.

Pemain 'tekong' itu juga menjadi anggota pasukan Marsiling CSC 'B' yang menjuarai pertandingan regu wanita Ahad lalu. Namun demikian Ellyia terkejut mendapat panggilan untuk mewakili negara.

"Saya tak sangka dapat masuk pasukan kebangsaan dan rasa sangat gembira kerana ini satu peluang baik untuk saya," katanya kepada BERITAmediacorp.

Sebagaimana Ellyia, Erna Nurshazlyana Jamil, 16 tahun, juga berkongsi perasaan yang sama, malah tidak sabar beraksi untuk negara.

Erna ingin mengambil peluang ini untuk menjadi pemain lebih baik lagi, memandangkan mempunyai hanya tiga tahun pengalaman dalam sukan sepak takraw.

"Untuk diri saya, saya nak memperbaiki kemahiran saya dan untuk pasukan kita, saya harap kita boleh pergi jauh dan harap-harap pada masa akan datang ada pertandingan dengan pasukan luar," kongsi Erna.

Selain Ellyia dan Erna, tiga lagi pemain yang menyertai pasukan negara ialah Nur Maisarah Aqillah Mohd Baijury, Farah Nur Watrish Abdullah dan Norazwirah Norhizam.

LATIHAN PERTAMA SEBAGAI PASUKAN LENGKAP

Kelima-lima pemain itu menyertai sembilan pemain kebangsaan yang sudahpun terpilih, dalam satu sesi latihan pada Rabu (31 Mac).

Selama dua setengah jam, mereka berlatih mengumpan dan melakukan libasan atau tendangan akrobatik dalam gelanggang.

Para jurulatih pasukan itu juga memberikan fokus kepada kebolehan mereka menimang bola, satu aspek yang dianggap penting dan asas buat mereka.

Latihan intensiti tinggi itu yang dijalankan seminggu sekali, diakhiri dengan perlawanan persahabatan antara satu sama lain.

Pasukan wanita kebangsaan itu akan menjalani latihan mereka yang terakhir minggu depan, sebelum berehat seketika kerana bulan Ramadan.

Bagi para jurulatih pula, mereka akur tanggungjawab membimbing pasukan yang baru ditubuhkan itu memang amat besar dan mencabar.

"Kita harus bekerjasama dengan para pemain, lebihkan latihan, lebihkan kemahiran, permainan di gelanggang dan teknik. Dari situ, kita boleh nilaikan kemahiran mereka untuk main takraw," kata Encik Fahmi.

HASRAT BERKOBAR-KOBAR, INGIN CAPAI MATLAMAT BESAR

Meskipun baru sahaja ditubuhkan, pasukan ini akan segera diuji dalam gelanggang antarabangsa.

"Banyak pendedahan dan banyak kejohanan," kata Encik Fahmi.

"Pertama akan datang di Bangkok atau di Indonesia, kemungkinan kita juga akan cuba serahkan untuk sukan SEA tahun ini."

Mentelah lagi, Encik Fahmi berharap akan ada lebih ramai lagi bakat-bakat wanita tempatan yang akan menceburi sukan sepak takraw dengan adanya pasukan kebangsaan sekarang ini.

PERSES akan menganjurkan kira-kira lima pertandingan tempatan sepanjang tahun ini, dua daripadanya khusus bagi regu wanita.

SENARAI PEMAIN SEPAK TAKRAW WANITA KEBANGSAAN

Berikut ini adalah senarai penuh para pemain skuad sepak takraw wanita kebangsaan:

1) Nur'Ezzaty Putri Rohazat
2) Siti Shahirah Sahlan
3) Auni Afrina Sumadi
4) Nur Haziqah Rosli
5) Nurul Ilyana Mohd Sokih
6) Nurshahira Muhamad Nasruun
7) Sharifah Maswan
8) Masriza Masran
9) Siti Norshakila Muhd Hattar
10) Ros Ellyia Natasha Abdullah
11) Erna Nurshazlyana Jamil
12) Nur Maisarah Aqillah Mohd Baijury
13) Farah Nur Watrish Abdullah
14) Norazwirah Norhizam 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan