Images
  • vietnam 2021 sea games

40 sukan bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA 2021

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 jenis sukan bakal dipertandingkan di Sukan SEA 2021 yang dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun depan di Vietnam.

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam yang diadakan secara maya pada Jumaat (20 Nov).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohamad Norza Zakaria berkata mesyuarat itu bersetuju menambah acara tenpin boling daripada 11 jenis sukan yang dipohon oleh MOM sebelum ini.

“Antara perdebatan hangat sewaktu mesyuarat itu adalah penyenaraian sukan hoki dalam dewan yang dicadangkan oleh tujuh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) telah ditolak pihak penganjur, selain pertikaian berhubung ketiadaan sukan polo air yang merupakan sukan wajib dipertandingkan di peringkat Sukan SEA,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Mohamad Norza bagaimanapun memaklumkan sukan polo air dan hoki dalam dewan masih berpeluang untuk disenaraikan dalam Sukan SEA 2021, namun bergantung kepada perbincangan lanjut antara pihak penganjur dan pemerintah Vietnam.

Ditanya mengenai punca 10 jenis sukan dipohon MOM ditolak pihak penganjur, Mohamad Norza berkata ia diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kekangan peruntukan, ketiadaan persatuan sukan kebangsaan di negara berkenaan, selain ketiadaan kemudahan bagi sukan tersebut.

Pada Julai lalu, MOM menghantar rayuan kepada SEAGF untuk menyenaraikan tambahan 11 jenis sukan iaitu hoki dalam dewan; bola jaring; sukan layar; tenpin boling; skuasy; boling padang; kriket; ragbi tujuh sepasukan; papan selaju; floorball; dan sambo (sukan bela diri tanpa senjata dari Rusia).

Jawatankuasa Eksekutif SEAGF yang bersidang pada pertengahan Oktober lalu, dilaporkan bersetuju menambah empat lagi acara daripada senarai awal 36 jenis acara yang diputuskan pihak penganjur pada Julai lalu iaitu triatlon; tenpin boling; jiujitsu; dan sukan elektronik (e-sukan).

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, sebanyak 56 jenis sukan melibatkan 530 acara dipertandingkan dengan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara bertanding setelah meraih 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa.

- BERNAMA/HA/ha

Top