Images
  • 4 atlit
    Atlit Nur’Aini Mohamad Yasli, Steve Tee, Toh Wei Soon dan Sophie Soon. (Gambar: Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Singapura) 

4 atlit S'pura buat penampilan sulung di Paralimpik Tokyo 2020

SINGAPURA: Empat daripada 10 atlit Singapura yang mengambil bahagian dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan membuat penampilan sulung mereka dalam temasya berprestij itu, menurut Jawatankuasa Paralimpik Nasional Singapura pada Sabtu (17 Jul).

Nur'Aini Mohamad Yasli, Steve Tee, Toh Wei Soon dan Sophie Soon akan menyertai rakan atlit mereka yang lain dalam sukan Olimpik tahun ini, yang berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 Sep. Temasya itu ditunda tahun lalu kerana pandemik COVID-19.

Atlit angkat berat 'powerlifting' Nur'Aini akan mengambil bahagian dalam acara mengangkat berat sehingga 45 kilogram kategori wanita manakala pengayuh basikal Tee (yang berganding dengan Ang Kee Meng) bakal bersaing dalam tiga acara di Sukan Paralimpik, termasuk ujian masa 32 kilometer.

Perenang Toh pula akan mewakili Singapura dalam empat acara termasuk kuak lentang 100 meter manakala perenang Soon akan bersaing dalam dua acara termasuk acara termasuk 100 meter gaya kupu-kupu.

Atlit-atlit lain yang membentuk rombongan Singapura adalah: Atlit memanah Nur Syahidah Alim, atlit 'shot put' Muhammad Diroy Noordin, atlit tunggang kuda Laurentia Tan, Gemma Rose Foo dan Maximillian Tan serta perenang Yip Pin Xiu.

Secara keseluruhan, atlit Singapura akan mengambil bahagian dalam enam acara iaitu sama dengan jumlah acara yang ditandingi Team Singapore di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Semasa acara pembukaan, rombongan Team Singapura akan dipimpin oleh pembawa bendera Diroy, yang membuat penampilan kali kedua di acara Sukan itu.

ROMBONGAN ATLIT S'PURA SUDAH TERIMA VAKSINASI LENGKAP

Rombongan atlit dari Singapura akan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan selain daripada yang digariskan dalam buku panduan Tokyo 2020, menurut jawatankuasa itu.

"Kontinjen Singapura sudah menerima vaksinasi lengkap COVID-19 dan mengambil vaksin influenza tambahan. Semua atlit akan menjalankan latihan "dalam gelembung" atau kawasan dikhaskan untuk mengurangkan gangguan terhadap pelan latihan mereka," menurut Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Singapura.

Mereka dijadual tiba di Jepun lima hari sebelum pertandingan bermula, dan berlepas pulang 48 jam setelah selesai bertanding.

Ketika di Tokyo, mereka harus mematuhi itinerari terkawal dan perlu menjalani ujian COVID-19 setiap hari. 

- CNA/HA/ha

Top