Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

4 anak Melayu siap bertarung di Piala Dunia Akademi Barca 2019; ditandingi 23 negara merata dunia

Pengadil meniup wisel terakhir sedang matahari mula terbenam di padang bola sepak Atletic Sant Just di Barcelona, Sepanyol. 

Anggaran Waktu Membaca:

BARCELONA: Pengadil meniup wisel terakhir sedang matahari mula terbenam di padang bola sepak Atletic Sant Just di Barcelona, Sepanyol.

Dengan itu, perlawanan-perlawanan persahabatan melibatkan Akademi Barca Singapura dengan akademi bola sepak tempatan yang lain sampai ke penghujungnya.

Tidak kira menang atau kalah, tujuan utama perlawanan hari ini (14 Apr) adalah untuk para pemain Singapura menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum mereka bertarung di medan Piala Dunia Akademi Barca 2019 esok (15 Apr).

“Sejuk. Tadi boleh lihat ramai pemain hampir kejang kaki, kesejukan dan ada yang minta berehat seketika. Namun, ini semua satu proses. Mereka akan sesuaikan diri melalui pengalaman ini,” menurut Encik Abdul Aziz Azhar, 28 tahun, jurulatih Akademi Barca Singapura bagi Pasukan Bawah 12 Tahun dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.

Lebih 2,000 pemain dari 188 pasukan yang berpangkalan di 23 negara merata dunia akan menguji kehebatan mereka di acara tahunan anjuran Rakuten itu.

Edisi ke-8 yang berlangsung dari 15 hingga 18 April ini bakal menyaksikan 650 perlawanan dari empat kategori pasukan – bawah 8, 10, 12 dan 14 tahun.

TERUJA BERPELUANG KE BARCELONA

Muhd Adam, sedang mendengar dengan teliti strategi jurulatihnya. (Gambar: Razi Salam)

Muhd Adam, sedang mendengar dengan teliti strategi jurulatihnya. (Gambar: Razi Salam)

Khusus bagi Akademi Barca Singapura, 45 pemain akan berusaha untuk mengharumkan nama negara tumpah darah, dengan membariskan kontinjen terbesarnya sejak ia mula menghantar wakil ke temasya berprestij itu pada 2014.

Buat julung-julung kalinya juga, skuad tersebut terdiri daripada empat pemain yang menerima biasiswa akademi itu. Lebih membanggakan lagi, keempat-empat penerima biasiswa adalah anak Melayu.

Bernilai sehingga S$12,000 setiap satu, biasiswa tersebut dikhaskan buat para pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) yang ditubuhkan antara 2005 dengan 2009 untuk mencungkil dan mengasah bakat di luar bidang akademik.

Daripada lebih 200 yang menyertai sesi uji bakat untuk merebut biasiswa berkenaan, hanya lapan dipilih selepas beberapa pusingan saringan yang dijalankan sepanjang tempoh tiga minggu pada tahun lalu.

Sejak 1 Ogos 2018, para penerima biasiswa mengikuti Program Latihan Lanjutan selama setahun.

Setelah berbulan-bulan berlatih, Nur Muhammad Muhammad Fadly, Muhammad Adam Mohd Faisal serta pasangan adik-beradik Aniq Matin Bin Zulfadli dan Audi Putra Bin Zulfadli membuktikan bahawa mereka benar-benar layak ke Barcelona, ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan para pemain cemerlang sebaya dengan mereka dari setiap pelosok dunia.

“Saya berasa gembira kerana ramai orang ingin ke Barcelona dan saya antara pemain yang dipilih untuk ke Barcelona,” kata Adam, pemain midfield pasukan bawah 12 tahun yang akan membuat penampilan sulungnya di padang Miniestadi esok.

GIGIH BERLATIH, TIDAK MAHU SIA-SIAKAN PELUANG

Aniq, penjaga gawang pasukan bawah 12 tahun, sedang beraksi di perlawanan persahabatan. (Gambar: Razi Salam)

Aniq, penjaga gawang pasukan bawah 12 tahun, sedang beraksi di perlawanan persahabatan. (Gambar: Razi Salam)

Sukatan latihan yang dilalui para pemain Akademi Barca Singapura sememangnya intensif.

Apakan tidak, kaedah yang sama digunakan untuk melatih bintang-bintang terkemuka FC Barcelona semasa mereka berlatih dengan skuad pembangunan La Masia pada suatu ketika.

Ini termasuk Lionel Messi, Sergio Busquet, Andrés Iniesta dan Xavi Hernández. Antara 2008 dengan 2012, para pemain ini membantu FC Barcelona menjuarai 14 daripada 19 kejohanan yang ditandingi termasuk tiga piala La Liga, dua trofi Liga Juara-Juara UEFA dan 2 trofi Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey).

“Setiap hari kami akan berlatih. Kami akan membuat latihan agility di rumah. Skipping 500, push up 100, latihan thigh 100 dan calf 100,” kongsi penjaga gawang skuad bawah 12 tahun, Aniq yang turut menambah bahawa mereka berlatih sehingga tiga kali seminggu.

“Saya akan cuba memenangi semua perlawanan dan belajar daripada para pemain negara lain,” kata Nur pula yang mengawal benteng pertahanan pasukan bawah 12 tahun daripada dibolosi pasukan lawan.

Mujur, tahun ini juga Nur dan sebilangan rakan sepasukan akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Oleh itu, mereka harus lebih cermat dan bijak mengimbangi masa berlatih dengan belajar.

“Dia (Nur) mesti belajar mengimbangi masa. Tidak boleh hanya bermain bola saja. PSLE sangat penting. Saya harus mendisiplinkan dia. Saya harus ingatkan dia tentang PSLE setiap hari,” tegas ibu Nur Muhammad semasa ditemui BERITAmediacorp di sesi latihan terakhir sebelum anaknya dan rakan-rakan sepasukan berangkat ke Barcelona.

Beliau dan suaminya turut menambah bahawa mereka bangga dengan pencapaian Nur dan berharap yang terbaik buatnya.

PELBAGAI CABARAN TAPI TETAP BERJUANG

Jurulatih Abdul Aziz sedang membincang strategi bersama pasukan bawah 12 tahun. (Gambar: Razi Salam)

Jurulatih Abdul Aziz sedang membincang strategi bersama pasukan bawah 12 tahun. (Gambar: Razi Salam)

Selain cuaca sejuk yang boleh mencecah bawah 10 darjah Selsius, para pemain Akademi Barca Singapura juga berdepan dengan beberapa cabaran lain.

Antaranya, pasukan-pasukan tempatan yang lebih selesa beraksi di padang sendiri dan sokongan tuan rumah. Tambahan pula, ramai daripada mereka lebih besar dan lincah, dedah Encik Azhar selepas perlawanan persahabatan siang tadi.

Justeru, beliau menekankan bahawa ia penting bagi anak didiknya untuk memanfaatkan strategi bagi mengatasi lawan.

“Bagi pertandingan esok, mereka akan melalui banyak perkara yang saya rasa mungkin agak sukar. Namun, berdasarkan cara mereka beraksi (dalam perlawanan persahabatan) hari ini, saya rasa mereka akan memberikan yang terbaik.

“Mereka akan menentang ramai pemain yang bersaiz lebih besar dan lebih agresif. Tapi, mereka hanya harus bermain sebagai mana yang kami rancang. Saya yakin, mereka akan berupaya menghasilkan sesuatu yang mungkin kelihatan mustahil,” ujar beliau.

Piala Dunia Akademi Barca 2019 akan dirasmikan pada pukul 10.00 pagi (waktu tempatan). Akademi Barca Singapura akan membuka tirai kempennya dengan pasukan bawah 12 tahun menentang pasukan USA Blue pada 12.00 tengah hari (waktu tempatan).

Pasukan bawah 14 tahun pula akan berdepan dengan Mosko pada 4.00 petang (waktu tempatan), sementara Audi dan rakan-rakan sepasukan dari skuad bawah 8 tahun bakal bertarung dengan Bogota pada 4.30 petang (waktu tempatan) manakala pasukan bawah 10 tahun pula, akan menentang Peru Blue pada 5.00 petang (waktu tempatan).  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan