Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

3 pesilat S'pura giat kumpul dana bagi #BurpeesForSayangSayang; galak gaya hidup sihat semasa 'circuit breaker'

Selepas lebih sebulan sejak langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan, ramai akur bahawa mereka semakin ketandusan idea tentang aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di rumah semasa menjalani 'circuit breaker'.

Anggaran Waktu Membaca:
3 pesilat S'pura giat kumpul dana bagi #BurpeesForSayangSayang; galak gaya hidup sihat semasa 'circuit breaker'

(Gambar: Persekutuan Silat Singapura/Instagram)

SINGAPURA: Selepas lebih sebulan sejak langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan, ramai akur bahawa mereka semakin ketandusan idea tentang aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di rumah semasa menjalani 'circuit breaker' yang menggalak rakyat dan penduduk Singapura supaya duduk di rumah sepanjang tempoh tersebut.

Namun, keadaan berbeza bagi pasangan adik-beradik Sheik Farhan Sheik Alau'ddin dan Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin serta seorang lagi pesilat negara, Nurul Suhaila Muhamed Saiful.

Ketiga-tiga pesilat negara itu mengambil kesempatan daripada tempoh 'circuit breaker' ini untuk melancarkan usaha mengumpul dana yang diberi nama Cabaran #BurpeesForSayangSayang" melalui laman Instagram masing-masing bagi menyokong anggota masyarakat yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

DANA '#BURPEESFORSAYANGSAYANG'

Menurut Farhan, bagi setiap rakaman video yang memaparkan 10 senaman 'burpees' yang dimuat naik ke Instagram, termasuk tanda pagar '#BurpeesForSayangSayang', Suhaila, Ferdous dan dirinya akan mendermakan S$5 secara bergilir-gilir kepada Dana Sayang Sayang.

Bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap dana tersebut, mereka juga bersetuju untuk melancarkan kempen media sosial '#BurpeesForSayang' kerana ia mudah ditularkan.

Dana tersebut didorong oleh anggota masyarakat yang ingin menghulurkan bantuan di tengah-tengah krisis seperti COVID-19 dan sebagainya.

Selain '#BurpeesForSayangSayang', terdapat juga penderma perseorangan dan korporat yang menderma secara langsung kepada dana berkenaan.

Dana yang dikumpulkan itu juga akan digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Dana ini menyokong para pekerja barisan hadapan serta golongan lemah yang terjejas oleh wabak COVID-19. Ini termasuk warga emas yang tinggal seorang diri, keluarga berpendapatan rendah dan pekerja asing," jelas Suhaila.

CUBA PIKAT 600 PENDERMA

Mereka berharap lebih 600 rakyat Singapura akan tampil untuk menyertai "Cabaran #BurpeesForSayangSayang" dari 20 April sehingga tempoh pemutus rantaian jangkitan berakhir pada 1 Jun, sambil menetapkan sasaran untuk mengumpul sebanyak S$3,000.

Ketiga-tiga pesilat itu turut berharap agar para individu yang mengambil bahagian dalam usaha berkenaan boleh menyumbang dengan murah hati.

Mereka yang tidak selesa melakukan senaman 'burpees' boleh menderma secara langsung melalui laman giving.sg.

KELUARGA, RAKAN TURUN PADANG MEMBANTU

Walaupun mencabar untuk menggalak lebih ramai orang untuk menyumbang semasa tempoh yang menyaksikan banyak pemberhentian pekerja dan ekonomi yang suram sekarang, Farhan tetap berbesar hati melihat keluarga dan rakan-rakannya turut menyingsing lengan untuk menjayakan kempen tersebut.

"Kami gembira melihat bentuk senaman 'burpees' yang kreatif seperti libas belakang. Ini semua lebih menarik kerana ia adalah sebagai sumbangan kepada masyarakat," tambah Farhan.

Sepanjang tempoh kempen itu, mereka mengalu-alukan orang ramai termasuk pengikut media sosial mereka untuk menyokong usaha mereka itu.

Jika gagal menepati sasaran untuk memikat 600 orang atau mengumpul S$3,000, adakah mereka akan melanjutkan tarikh akhir bagi cabaran tersebut?

"Kami yakin akan dapat mencapai hasrat itu," tegas Farhan.

Menurutnya lagi, tujuan utama kempen tersebut adalah untuk menggalak masyarakat supaya terus mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif sepanjang tempoh 'circuit breaker'.

Setakat ini, mereka bertiga berhasil mengumpul $3,050 dan menerima sokongan daripada lebih 200 orang melalui Instagram.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan