Images
  • olympic japan
    (Gambar: AP)

18,000 kakitangan, relawan Olimpik Tokyo akan divaksin

TOKYO: Sekitar 18,000 kakitangan Olimpik Tokyo termasuk pengadil dan relawan akan disuntik vaksin COVID-19 mulai minggu depan, menurut pihak penganjur pada Jumaat (11 Jun), sedang mereka cuba meningkatkan keyakinan bahawa temasya sukan adalah selamat.

Dengan tinggal hanya enam minggu sebelum acara sukan yang ditunda sebelum ini kerana pandemik berlangsung, para pegawai masih bergelut dengan bantahan dalam negeri serta kebimbangan bahawa acara itu mungkin menyebabkan penularan koronavirus.

Program vaksinasi Jepun bermula agak perlahan dan walaupun ia semakin dipercepatkan, hanya 4 peratus penduduk Jepun sudah divaksinasi dengan hampir 13 peratus menerima dos pertama.

Ketua Olimpik Tokyo 2020 Seiko Hashimoto berkata beliau berharap program vaksinasi itu akan membolehkan kakitangan Olimpik "mengambil bahagian dalam operasi acara dengan rasa tenang".

Suntikan vaksin itu ditumpukan pada mereka "yang perlu berinteraksi secara kerap dengan atlit", katanya.

Ini termasuk pengadil, kakitangan perkampungan Olimpik, kakitangan dan kontraktor, pekerja di lapangan terbang, pegawai yang melakukan ujian penggunaan dadah atau ubat terlarang serta penolong dari jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik negara.

Seramai 70,000 relawan juga akan divaksinasi, jika mereka dijangka perlu berhubung rapat dengan atlit.

Encik Hashimoto berkata program vaksinasi itu akan bermula pada 18 Jun dengan dos kedua diberikan sebelum temasya Olimpik itu bermula pada 23 Julai.

Tinjauan pendapat awam sebahagian besar menunjukkan ramai di Jepun membantah penganjuran Sukan itu tahun ini, dan ramai yang lebih cenderung agar ia dibatalkan atau ditangguh lagi.

Pihak penganjur sedang cuba menyebarkan mesej bahawa sekatan ketat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan peserta dan penduduk Jepun.

Mereka juga mengurangkan jumlah peserta dari luar negara dan memerlukan atlit diuji bagi COVID-19 setiap hari, termasuk mereka yang sudah divaksinasi.

Penyokong luar negara juga dilarang menghadiri Sukan Olimpik Tokyo dan satu kata putus tentang berapa ramai penonton tempatan dibenarkan, jika ada, akan diumumkan pada lewat bulan ini.

Sebahagian Jepun termasuk Tokyo kini dalam keadaan darurat COVID-19 yang dijangka berakhir pada 20 Jun, setelah jumlah kes semakin merosot.

- AFP/HA/ha

Top