Images
  • ire
    Satu kebakaran berlaku di sebuah dormitori di pusat latihan pasukan belia salah sebuah kelab bola sepak terbesar di Brazil. (Gambar: AFP)

10 pemain bola sepak remaja maut dalam kebakaran di Rio

RIO DE JANEIRO: Satu kebakaran berlaku di sebuah dormitori di pusat latihan pasukan belia salah sebuah kelab bola sepak terbesar di Brazil, meragut nyawa 10 pemain remaja.

Kesemua mangsa menginap di Ninho de Urubu, tempat latihan kelab bola sepak Flamengo di Rio de Janeiro.

Tiga remaja turut mengalami kecederaan, salah seorang daripada mereka parah. Beliau sudah dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan pakar.

Satu siasatan sudah dilancarkan untuk menyiasat punca kebakaran itu.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bahawa asrama itu diberikan lesen rasmi oleh pemerintah sebagai sebuah tempat letak kenderaan.

Seorang pemain muda berkata bahawa kebakaran itu tercetus di dalam alat pendingin udara dalam biliknya.

"Pendingin udara itu terbakar dan saya berlari keluar," menurut Felipe Cardoso, seorang pemain pasukan bawah 17 tahun. "Mujur saya dapat melarikan diri dan saya masih hidup."
Flamengo adalah antara kelab paling besar dan terkemuka di peringkat antarabangsa.

Mereka bermain di liga Campeonato Brasileiro Série A dan menamatkan musim lalu di tangga kedua.

Presiden kelab itu, Encik Rodolfo Landim memberitahu para wartawan bahawa ia "tragedi paling buruk yang dialami kelab itu" dalam sejarahnya selama 123 tahun. 

- Agensi berita/NA/na

Top