Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarian 'hip hop' di Chingay 2020 hasil tenaga kreatif pasangan adik-beradik

Sepasang adik-beradik menjadi antara peserta dan tenaga kreatif Perarakan Chingay tahun ini. Mereka juga dalam kalangan lebih 6,000 peserta berbilang kaum yang menampilkan bakat di acara tahunan itu sempena Tahun Baru Cina.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepasang adik-beradik menjadi antara peserta dan tenaga kreatif Perarakan Chingay tahun ini.

Mereka juga dalam kalangan lebih 6,000 peserta berbilang kaum yang menampilkan bakat di acara tahunan itu sempena Tahun Baru Cina.

BERITAmediacorp menjenguk persiapan pasangan adik-beradik, Syarul Ezuan, 26 tahun dan Syamil Asyraf Mohd Tajuddin, 20 tahun bagi acara kebudayaan itu.

SUMBANGAN TARIAN 'HIP HOP' DI CHINGAY

Di tengah-tengah pertunjukan berunsur kebudayaan dan tradisional, penonton Perarakan Chingay tahun ini akan terpukau dengan suntikan tarian gaya 'hip hop' hasil bimbingan penari dan pereka tari, Syarul Ezuan.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Syarul yang bukan orang asing dalam acara-acara Chingay sebelum ini mula terlibat sejak lima tahun lalu sebagai peserta dan pereka tari untuk kontinjen Persatuan Serani dan kontinjennya sendiri, Diamond Drip Team.

Berkat kegigihan dan usaha membimbing kumpulan-kumpulan di bawah naungannya, beliau telah merangkul beberapa anugerah termasuk Anugerah Kontinjen Cemerlang dan Anugerah bagi Pertunjukkan Bergerak Terbaik.

PERTAMA KALI JADI KOREOGRAFER UNTUK LIMA KONTINJEN

Tahun ini, beliau diberikan tanggungjawab lebih besar iaitu sebagai koreografer utama untuk lima kontinjen keseluruhannya - Persatuan Serani, Team AM, D-Unit, SquaDD dan Diamond Drip Team.

Menurut Syarul, arena Chingay bukan sahaja memberinya wadah untuk menampilkan bakat, bahkan peluang mengenali budaya lain.

"Saya dapat peluang untuk berinteraksi dengan orang pelbagai bangsa dan budaya dalam satu tempat. Pada masa yang sama, saya juga dapat berkongsi seni tarian yang saya gemari dengan kumpulan saya dan orang lain.

"Chingay mempamerkan identiti Singapura dan merupakan acara yang bagus untuk memahami dan menghayati budaya lain," kata Syarul yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam seni tarian.

CHINGAY ERATKAN SILATURAHIM ANTARA ADIK-BERADIK

Lebih manis lagi, Chingay turut memberi Syarul peluang untuk berganding tenaga dengan adiknya, yang merupakan seorang tenaga pengajar dan peserta.

"Adik saya telah menjadi salah satu pengajar saya dan bertanggungjawab untuk mengajar kumpulan-kumpulan saya. Ini berbeza dengan tahun-tahun yang lepas bila dia hanya terlibat sebagai seorang penari.

"Walaupun kami berselisihan faham dan persediaan untuk persembahan Chingay tahun ini, kami telah menjadi lebih rapat dan mengenali cara-cara masing-masing," kata Syarul yang sudah empat tahun bekerjasama dengan adiknya dalam Chingay.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

"Saya menyertai Chingay kerana ia seronok dan sebagai seorang penari, saya bangga dapat membahagiakan orang lain melalui tarian saya.

"Saya rasa lebih baik abang saya sendiri mengajar kerana dia mengajar saya apa asasnya dan apa yang diharapkan untuk menggerakkan kontinjen saya," kata Syamil yang berminat menyertai acara itu kerana pendedahan dan pengalaman yang diraih.

Buat masa ini, pasangan adik beradik ini sedang bekerja keras untuk menajamkan lagi mutu persembahan mereka sebelum acara kemuncak Perarakan Chingay pada 31 Januari dan 1 Februari nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan