Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Tanpa naungan sebarang badan masyarakat, 65 belia ini bantu 100 keluarga memerlukan

Lazimnya pada waktu hujung minggu anak-anak muda meluangkannya dengan berehat atau berseronok, namun tidak begitu bagi 65 orang remaja dan belia ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lazimnya pada waktu hujung minggu anak-anak muda meluangkannya dengan berehat atau berseronok, namun tidak begitu bagi 65 orang remaja dan belia ini.

Mereka sebaliknya sibuk melakar dan membuat kerja-kerja amal sempena Ramadan ini, termasuk membantu 100 keluarga fakir miskin di flat-flat sewa.

Ada di antara sukarelawan muda itu mereka yang semuda 14 tahun sahaja dan yang paling tua pula berusia 21 tahun. Kebanyakan daripada mereka adalah pelajar sekolah menengah.

Namun yang penting, anak-anak muda itu semuanya berkumpul dan menyingsing lengan membungkus barang-barang dapur.

Semua ini kemudian diagihkan kepada 100 keluarga Melayu/Islam dari golongan kurang bernasib baik di Marsiling Road pada Sabtu lalu (10 Apr).

"HOPE FOR RAMADAN" GERAKAN IMRAN MEAN

Menariknya, projek 'Hope For Ramadan' itu bukan dilakukan di bawah naungan sebarang badan Melayu/Islam - sebaliknya ia digerakkan sendiri oleh para belia berkenaan.

Pengasas gerakan amal itu ialah Muhamad Imran Mean, 20 tahun, pelajar tahun 2 NITEC Tinggi, dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.

Menamakan gerakan itu sebagai 'IM Volunteers Network SG', dia kemudian menguar-uarkan gerakan mencari sukarelawan di kalangan remaja dan belia serta mengumpul dana menerusi media sosial.

Hasilnya, IM Volunteers Network SG berjaya mengumpulkan seramai 65 sukarelawan muda, selain mengumpul dana sebanyak $9,500 menerusi kaedah PayNow dan Paylah!

Wang tersebut digunakan untuk membeli habuan Ramadan bagi projek membantu keluarga-keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat-flat sewa kawasan Marsiling.

"Saya harapkan golongan dan keluarga memerlukan di sekitar rumah-rumah sewa di Marsiling ini dapat manfaat daripada habuan itu yang menjadikan tokok tambah harian, keperluan harian dan keperluan rumah. Kita harap dengan habuan ini kita dapat berikan sedikit pertolongan dan sumbangan kepada mereka," luah Imran kepada BERITAmediacorp berhubung usaha amal tersebut.

Sebenarnya, projek memberi cahaya sempena Ramadan ini asalnya bermatlamat membantu 50 keluarga dengan dana $1,000.

Namun jelas, amal jariah kumpulan IM Volunteers Network SG itu sudah jauh melebihi sasaran mereka.

Sukarelawan projek itu, Muhammad Harraz Sumian, 18 tahun, adalah antara pelajar ITE dan rakan yang ditarik Imran supaya menyumbang tenaga.

"Apabila kita menolong orang-orang kesusahan kita dapat melalui pengalaman dan daripada kita membuang masa kita dengan membuat perkara tak berfaedah lebih baik kita belia macam saya ini membuat sukarelawan seperti ini," katanya semasa ditanya kenapa dia terlibat.

Senarai penerima bantuan kumpulan ini diperolehi setelah mereka melakukan kerja pendampingan dan lawatan rumah ke rumah sejak lewat tahun lalu.

Yang pasti bukan ini sahaja projek mereka anak-anak muda itu.

Bermula minggu kedua Ramadan ini pula, mereka akan mengagihkan makanan 'panas-panas' kepada keluarga-keluarga memerlukan melalui projek tajaan berbuka puasa.

Projek tersebut menggalak orang ramai menderma $15 bagi hidangan berbuka puasa untuk empat orang.

Ditanya apa motivasinya memulakan projek amal ini dengan menggembleng tenaga golongan remaja dan belia seusianya, Imran berkata dia membuka rangkaian ini untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai belia, terutama sekali dalam masyarakat Melayu/Islam.

"Saya mendapat ilham daripada badan-badan lain yang selalunya anak-anak remaja ini tidak ada tempat untuk meluangkan masa, yang mana kadang-kadang mereka pergi ke tempat yang tak bermanfaat untuk mereka.

"Jadi saya membuka rangkaian ini untuk mereka meluangkan masa yang lebih bermanfaat untuk memberikan masa untuk masyarakat," jelas Imran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan