Images
  • singapore floorball
    Skuad negara bagi Sukan SEA 2019. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Skuad floorball S’pura yakin raih pingat emas Sukan SEA Manila selepas julang Piala AOFC

BERITAmediacorp: Beliau adalah kapten pasukan Singapura yang berjaya menjulang pingat emas semasa sukan bola lantai dipertandingkan buat julung-julung kalinya dalam edisi ke-28 Sukan SEA semasa Singapura menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu pada 2015.

Empat tahun sudah berlalu, namun kapten pasukan Singapura Syazni Ramlee tetap yakin pasukan negara akan dapat mengulangi detik bersejarah itu sekali lagi apabila pasukan negara turun gelanggang di di Filipina pada hujung bulan depan.


Kapten skuad negara Syazni Ramlee beraksi di sesi latihan di Hab Tampines Kita. 

Tuan rumah Filipina memutuskan untuk memperkenalkan semula sukan tersebut selepas sukan tersebut digugurkan di Kuala Lumpur dua tahun yang lalu.

“Kita ada lagi sekitar tiga minggu untuk memperbaiki prestasi. Dan saya percaya bahawa naluri mahu menang sangat penting,” kata Syazni yang berusia 28 tahun.

Namun, sepanjang empat tahun lalu, pasukan-pasukan lain dari rantau ini turut mengambil kesempatan untuk meningkatkan tahap permainan masing-masing. Filipina dan Thailand kini dilihat sebagai pencabar utama kepada Singapura dan kedua-dua pasukan itu berupaya mengancam kedudukan skuad negara setelah menguatkan pasukan masing-masing dengan kehadiran beberapa pemain import.

Juara bertahan Singapura pula tidak mempunyai sebarang pemain import, dengan hampir separuh daripada barisan pemain negara akan membuat penampilan sulung di edisi ke-30 kelak. Awal tahun ini, Singapura melantik seorang jurulatih muda untuk membimbing skuad negara.

Dengan perkembangan-perkembangan tersebut, adakah ia akan menjejas prospek pasukan bola lantai Singapura untuk membawa pulang pingat emas? Dan sejauh manakah para pemain kita sudah bersiap sedia untuk bertanding dalam gelanggang di Filipina

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

“Saya rasa Sukan SEA ini agak payah kerana Thailand akan menghantar skuad yang kuat. Tapi ia tidak menghambat kami daripada bekerja lebih keras untuk pertandingan ini,” kongsi Syazni.

Ternyata, sejak dibentuk lebih enam bulan yang lalu, kerja keras skuad negara sudah mula menunjukkan hasilnya, dengan prestasi cemerlang dipamerkan di beberapa pertandingan luar negara termasuk membelasah Thailand 17 – 1 untuk menjulang Piala Bola Lantai Konfederasi Asia-Oceania (AOFC) pada Ogos lalu.

“Saya sangat berbesar hati dapat memimpin skuad yang sangat berdedikasi. Dengan kerja keras serta pengorbanan mereka selama ini, kami sangat berpuas hati, semuanya membuahkan hasil,” kata jurulatih Lim Jin Quan.


Cara latihan dan gaya permainan Lim Jin Quan berbeza tapi terbukti membuahkan hasil.

Jurulatih rakyat tempatan yang berusia 26 tahun itu juga akur bahawa terdapat beberapa cabaran semasa baru-baru mengambil alih tugas melatih pasukan negara.

Antaranya adalah menjalin hubungan profesional memandangkan beliau sendiri pernah bermain dalam gelanggang yang sama bersama sesetengah pemainnya ketika mewakili negara suatu ketika dahulu.

“Saya tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa sebagai jurulatih. Sebaliknya, kami harus bekerjasama - sebagai bekas rakan sepasukan yang kini menjadi jurulatih pula – untuk membangunkan pasukan ini,” luah Jin Quan yang sudah lebih tujuh tahun menceburi sukan itu.

Menurut Jin Quan, mereka banyak membantu dari segi menyatukan muka-muka baru dengan para pemain berpengalaman agar dapat memperkukuhkan dinamik pasukan.

PENTING DAHAGAKAN GOL

Ditanya tentang pasukan-pasukan lawan yang membariskan pemain-pemain import, Jin Quan tidak kelihatan gentar sama sekali.

“Mereka beruntung dasar kerakyatan negara membenarkan mereka berbuat demikian. Kami sebaliknya tidak boleh. Namun, kami tidak menyerah kalah. Saya rasa jika tidak ada cabaran, apa-apa pun yang kami raih, tidak bermakna. Kemenangan itu tidaklah semanis berbanding yang dilalui penuh rintangan,” luah beliau.

Jin Quan turut mendedahkan bahawa sepanjang beberapa bulan yang lalu, mereka telahpun menimba pengalaman bermain di luar negara seperti di Czech Republic pada bulan Ogos selain mengadakan sesi-sesi latihan bersama para pemain hebat di peringkat antarabangsa termasuk bintang-bintang dari Sweden seperti Tobias Gustafsson, Gustav Fritzell dan Jon Hedlund.

Selain itu, jurulatih muda ini juga dengan berani sudah mengubah corak permainan pasukan negara untuk menyuntik “rasa dahaga untuk menjaringkan gol” menerusi hantaran-hantaran yang tepat dan berkesan. Katanya, pengalaman bertanding di luar negara dan hasil interaksi bersama jurulatih-jurulatih lain menunjukkan bahawa sukan bola lantai sememangnya berpihak kepada pasukan yang mempunyai sikap sedemikian.


Farhan (kiri) akan membuat penampilan sulung di Filipina hujung bulan ini. 

“Ia semua berdasarkan komunikasi antara para pemain. Saya yakin kita boleh menang selagi kita saling memahami dan percaya akan kemahiran antara satu sama lain,” kata pemain pertahanan, Muhd Farhan Yusoff, 22 tahun.

Bekas pelajar Politeknik Temasek itu turut berkongsi bahawa pasukan negara memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cara Jin Quan yang agak berlainan berbanding jurulatih mereka sebelum ini. Namun kemenangan-kemenangan yang diraih oleh Pasukan Terbaik bagi Anugerah Sukan Singapura 2019 itu membuktikan bahawa tunjuk ajar Jin Quan berkesan.

Seperti beberapa pemain lain yang akan membuat penampilan sulung November ini, beliau juga sudah tidak sabar untuk menunjukkan taring di Sukan SEA kelak.

Katanya: “Saya rasa amat bangga kerana dapat mewakili Singapura buat kali pertama. Saya tidak sabar untuk merasakan suasana Sukan SEA!”

Pasukan bola lantai negara bakal beraksi di Sukan SEA ke-30 bermula 25 Nov ini dengan Singapura dan Thailand antara negara yang berpotensi menjadi juara sukan tersebut. 

- BERITAmediacorp/tq

Top