Images
  • nabil nabilah 4
    (Gambar: Siti Zulaikha Zulkiflee)

Siri buku Nabil Nabilah akan dilanjutkan ke Darjah 5 & 6, serta K1 & K2

SINGAPURA: Siri bahan bacaan dalam bahasa Melayu untuk murid sekolah rendah, Nabil Nabilah, yang kini digunakan murid Darjah 1 hingga 4, akan diluaskan pula kepada murid Darjah 5 dan 6 bermula tahun 2021.

Malah siri buku cerita yang bertujuan memperkasa keupayaan bahasa Melayu kanak-kanak, akan turut diperkenalkan kepada murid-murid peringkat prasekolah, iaitu Tadika 1 dan 2.

Demikian diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Faishal Ibrahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), siang tadi (30 Jan).

Sejak dilancarkan pada 2015, sebanyak 40 judul siri bacaan buku cerita Nabil Nabilah sudah diterbitkan.

BENGKEL SIRI BACAAN NABIL NABILAH PERTAMA UNTUK IBU BAPA

Hari ini juga, buat pertama kalinya, sebuah bengkel siri bacaan Nabil Nabilah dikendalikan untuk lebih 100 ibu bapa dan pelajar.

Di bengkel anjuran guru-guru penulis Nabil Nabilah Darjah 3 dan 4 dari Sekolah Rendah Punggol View, yang disokong oleh MLLPC, para peserta dibimbing dengan cara-cara mempertingkatkan lagi kemahiran membaca dan bercerita.

Ia turut berkongsi tips-tips membaca dan teknik-teknik bercerita dengan cara yang menarik. Semua ini demi membantu para ibu bapa memupuk minat membaca dalam anak-anak mereka.

Siri bahan bacaan Nabil Nabilah, yang menyisipkan nilai-nilai moral serta berkontekskan Singapura, ternyata mendapat sambutan baik dalam kalangan ibu bapa.

"Saya dapat menggunakan bahan bacaan Bahasa Melayu yang berkontekskan Singapura serta mempelajari tema-tema yang dipelajari anak saya di sekolah," kata Cik Azalia Abdul Manab, ibu kepada pelajar Darjah 4 Sekolah Rendah Punggol View.

Pandangan yang serupa turut disuarakan Encik Mus Iskandar Abdul Motalib, seorang bapa kepada pelajar Darjah 3 dari sekolah yang sama.

"Selain daripada pengajaran Bahasa Melayu yang baik melalui buku Nabil Nabilah itu, saya akan menerapkan nilai-nilai yang diterapkan melalui buku ini untuk anak-anak saya pada masa hadapan kelak," ujar Encik Mus Iskandar lagi.

JUMLAH PEMBACA MENINGKAT LEBIH DUA KALI GANDA

Menurut Dr Faishal Ibrahim, sejak diperkenalkan lebih tiga tahun lalu, bilangan pembaca siri bacaan Nabil Nabilah meningkat lebih dua kali ganda.

Hasil sambutan yang menggalakkan itulah, siri Nabil Nabilah akan diperluaskan kepada peringkat Tadika 1 dan 2 serta Darjah 5 dan 6.

"Permulaan yang baik adalah penting lebih-lebih lagi bagi Bahasa ibunda kita di mana ruang untuk bertutur, membaca dan juga menggunakan bahasa ibunda semakin berkurangan. Tetapi apa yang harus kita lanjutkan ialah bagaimana kita boleh meningkatkan peluang bagi mereka," kata Dr Faishal.

"Justeru dengan adanya peningkatan dari segi penerbitan siri Nabil Nabilah bagi Darjah 5 dan 6 dan Tadika 1 dan 2 itu, ia dilihat sebagai satu usaha untuk meluaskan dan memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak kita untuk membaca, mendapatkan konteks Singapura serta menghayati bahasa ibunda kita."

Buku-buku cerita Nabil Nabilah itu juga terdapat dalam versi online dan boleh anda dimuat turun secara percuma di laman MLLPC (www.mllpc.sg).

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top